Berita

BN ulangi janji basi bina Empangan Cinta Mata di Tawau

TAWAU, 26 APR: Projek Empangan Cinta Mata yang dijadual pembinaannya di sini pada Ogos depan telah dijadikan modal basi kempen Barisan Nasional (BN) untuk meraih undi dan sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU), kata Adun Sri Tanjong, Chan Foong Hin.

Projek yang bakal menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di sini sejak sekian lama itu, katanya, merupakan janji dalam manisfesto BN pada PRU ke-13, malah, pernah diuar-uarkan pembinaannya pada Jun tahun lalu.

“Sudah bertahun-tahun mereka tunggu projek ini, dan sudah terlalu lama mereka terseksa kerana terpaksa hadapi masalah gangguan bekalan air.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kemudahan asas, termasuk bekalan air yang konsisten dan boleh diharap, tidak kira siapa pun yang memerintah.

“Oleh kerana PRU semakin hampir, paling awal selepas Hari Raya, berkemungkinan besar BN akan menggunakan projek Empangan Cinta Mata ini sebagai modal kempen pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Sabah yakin penduduk di Tawau mampu menilai tahap kejujuran dan komitmen yang ditunjukkan ahli dan parti politik.

Melalui jawapan bertulis Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, projek itu mengalami peningkatan kos daripada RM415.4 juta kepada RM470.39 juta setelah mengambil kira cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan harga bahan semasa. – Roketkini.com