Berita

Jika bertanding sendirian, PAS akan menangkan UMNO – Tun Mahathir

PETALING JAYA, 26 APR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa PAS bukan sahaja akan tewas malah memenangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) jika parti itu bersendirian dalam pilihan raya akan datang.

“Mereka (PAS) tentu sedar jika mereka bertanding satu parti sahaja, besar kemungkinan bukan saja mereka akan kalah tetap BN akan menang,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Menegaskan kenyataannya yang pernah dibuatnya sebelum ini, Dr Mahathir berkata tindakan PAS bersendirian itu hanya memberi mesej kepada pengundi bahawa mereka menyokong BN.

“Ini disedari oleh ramai daripada ahli-ahli PAS akar umbi.

“Mungkin pemimpin mereka ada maklumat lain, tetapi hakikatnya ialah, kalau mereka ingin menyatakan (sokongan kepada) Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri, (dan) berpecah dengan parti-parti Pakatan Harapan lain, besar kemungkinan yang menang ialah BN,”

Dr Mahathir dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa rata-rata pengundi akar umbi dapat menerima konsep kerjasama pembangkang negara ini.

“Kita kena beritahu rakyat apa pendirian kita. Bukan saja nak tunjuk sapa nak jadi perdana menteri dan sebagainya tetapi apa dia objektif kita di peringkat nasional,” katanya.

Menjawab soalan media, bekas Perdana Menteri itu berkata BERSATU masih belum memuktamadkan senarai kerusinya dan perlu dibincangkan bersama parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut mengingatkan pemimpin BERSATU supaya tidak menyertai parti itu kerana dendam atau jawatan.

“Kita nak ingatkan, menjadi ketua bahagian tidak bermakna tetap jadi calon.

“Calon akan diberikan kepada mereka yang boleh menang dan orang ini mungkin daripada parti-parti gabungan atau BERSATU,” katanya lagi. – Roketkini.com