Berita

Pendedahan pemimpin DAP ini mengenai tarif air di Pulau Pinang pasti membuatkan anda terkejut…

GEORGE TOWN, 26 APR: Prestasi cemerlang Pakatan Harapan mentadbir urus kerajaan negeri Pulau Pinang secara bersih, telus dan berintegriti ternyata membawa kemakmuran kepada rakyatnya tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Hasilnya, rakyat Pulau Mutiara itu menikmati kadar tarif air terendah iaitu 32 sen bagi 35,000 liter pertama berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

“35,000 liter itu berapa banyak air? Jika satu botol besar air mineral itu satu liter, maka ada 35,000 botol besar air.

“35,000 botol besar air kosnya RM11.30 di Pulau Pinang!” coret Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam kemaskini status di laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Di Pulau Pinang, kalau sebulan guna air di rumah sampai 35,000 liter, bil air RM11.30. Sebab terlalu rendah maka bil air…

Steven Sim Chee Keong 沈志强发布于 2017年4月25日

Lebih menarik lagi, menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang itu, oleh kerana kadar tarif yang terlalu rendah, bil air kadangkala hanya sampai ke rumah pengguna sekali untuk tempoh dua bulan.

Beliau turut berkongsi carta kadar tarif air di seluruh negeri di Malaysia yang mana menunjukkan Johor di bawah kekuasaan Barisan Nasional (BN) mengenakan kadar tarif air tertinggi terhadap rakyatnya iaitu RM1.05 bagi setiap satu meter padu (1000 liter) air.

Bagaimanapun, ekoran kadar tarif air yang begitu murah, Steven berkata, berlaku pembaziran yang tidak diingini.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa melaksanakan surcaj pemuliharaan air yang bertujuan untuk mendidik rakyatnya menggunakan sumber berkenaan secara berhemah.

“Untuk menghindar pembaziran, jika guna air lebih daripada 35,000 sebulan, maka kena surcaj air. Jika tidak lebih 35,000 sebulan tiada surcaj air, bil tetap RM11.30,” katanya. – Roketkini.com