Berita

1MDB: Putar belit UMNO-BN akhirnya makan tuan

KUALA LUMPUR, 27 APR: Cubaan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) mengambarkan kononnya skandal 1MDB sudah selesai sebenarnya memakan diri mereka sendiri, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Ini kerana, katanya, kenyataan yang dikeluarkan menteri UMNO-BN untuk mempertahankan syarikat pelaburan bermasalah milik negara berkenaan membangkitkan semula persoalan asas yang sehingga kini masih tidak terjawab.

Beliau memberi contoh antara lain kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa kononnya penyelesaian antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) membuktikan perdana menteri tidak bersalah.

Menurut Kit Siang, Rahman Dahlan juga mendakwa bahawa kononnya dana 1MDB wujud dalam bentuk ‘unit’ di Singapura dan boleh ditukarkan ke dalam bentuk matawang untuk dibayar kepada syarikat Abu Dhabi berkenaan.

“Terima kasih Abdul Rahman, kerana beliaulah soalan-soalan ini telah dibawa semula kepada perhatian masyarakat umum, bersekali dengan pertanyaan yang dibangkitkan Tony Pua dan pemimpin yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam kenyataan beliau sebelum ini membangkitkan persoalan mengapa rakyat Malaysia perlu menanggung pembayaran sebanyak dua kali ganda 1MDB kepada IPIC.

Hasil penyelesaian timbangtara antarabangsa di London memutuskan bahawa IPIC akan menerima bayaran berjumlah AS$1.205 bilion.

1MDB dan Kementerian Kewangan juga diarahkan bertanggungjawab ke atas faedah bon bernilai US$3.5 bilion yang dijamin IPIC.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mengulangi desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sesi Parlimen khas bagi membincangkan skandal 1MDB secara menyeluruh.

Kerajaan UMNO-BN juga, kata Kit Siang, perlu menyelesaikan masalah berkait saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) secara perundangan bagi membersihkan nama Malaysia yang kini terpalit dengan gelaran kleptokrasi. – Roketkini.com