Berita

Parkir khas ibu mengandung, inisiatif Selangor martabatkan wanita

SHAH ALAM, 27 APR: Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan ‘Kempen Hormat Wanita’ sebagai usaha mengangkat martabat wanita melalui pendidikan kepada masyarakat terhadap kepentingan keadilan sosial terhadap golongan wanita.

Kempen Hormat Wanita yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor ini merupakan salah satu pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.

Menurut Exco Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi kempen ini akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek keperluan golongan sasaran.

Ia katanya meliputi aspek kemudahan mesra wanita ditempat kerja, dasar 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan serta pencegahan jenayah dan gangguan seksual dan lain-lain melalui penguatkuasaan di agensi Kerajaan Negeri, badan-badan berkanun ataupun anak-anak syarikat.

Inisiatif Hormat Wanita (IHW) yang pertama diperkenalkan adalah Parkir Ibu Hamil di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

Dr Daroyah berkata, Parkir Ibu Hamil ini akan diperluaskan lagi di semua agensi Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Inisiatif kemudahan parkir ibu hamil ini adalah bertujuan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada golongan ibu yang bekerja daripada kakitangan kumpulan sokongan.

“Malah, memberikan satu penghormatan kepada golongan wanita yang bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ekonomi dan pengurusan Kerajaan Negeri yang cemerlang tetapi pada masa yang sama juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan suami dan anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, sebanyak 12 petak khas parkir ibu hamil telah dikenalpasti untuk kegunaan kakitangan kumpulan sokongan di Bangunan SUK dan pelanggan dan akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2017.

Berdasarkan Analisa Kajian Keperluan Kemudahan Mesra Wanita di Tempat Kerja yang dilakukan sebelum ini, 92.63 peratus responden bersetuju mengenai keperluan untuk mewujudkan parkir ibu hamil oleh majikan di tempat kerja.

Kajian itu melibatkan 2,499 orang kakitangan awam Kerajaan Negeri dan swasta (anak-anak syarikat), yang terdiri daripada 632 orang lelaki dan 1,863 orang wanita. -Roketkini.com