Berita

Ahli Parlimen Kota Kinabalu menang kes saman fitnah

*Kredit foto Adrian Lasimbang

KOTA KINABALU, 28 APR: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menang kes saman fitnah ke atas Fred Fung Kong Win di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang didakwa telah merosakkan imej dan reputasinya.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Ravinthran N. Paramaguru, semalam telah memerintahkan Fred (defendan) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 dan RM30,000 sebagai kos kepada Jimmy apabila mendapati defendan gagal membuktikan dakwaannya.

Saman fitnah itu dibuat apabila Fred Fung mengeluarkan dua kenyataan kepada media yang disiarkan oleh akhbar harian Daily Express pada 30 Jun 2015 bertajuk “DAP told to come clean on amount” dan pada 17 Julai 2015 pula bertajuk “Nothing to apologised: Ex-DAP No. 2”.

Fitnah itu antara lain mendakwa Jimmy, yang ketika itu Pengerusi DAP Sabah kononnya telah menyalahgunakan kuasa menggelapkan dana sebanyak RM180,000.

“Apa yang telah dilakukan Fred sebelum ini amat menyakitkan. Tetapi, pada hari ini saya berasa amat gembira dan syukur kerana nama saya telah bersih dari semua tuduhan fitnah,” kata Jimmy kepada media di mahkamah.

Dalam perbicaraan ini, Jimmy telah diwakili peguam Hamid Hamzah Mydin.

Sebelum kes dibawa ke mahkamah, pada 9 September 2015, Jimmy telah mengemukakan tuntutan kepada Fred supaya menarik balik kenyataan fitnah terhadapnya, memohon maaf dan membayar ganti rugi, namun beliau enggan berbuat demikian. –Roketkini.com