Berita

Akar umbi DAP Sepang nyata sokongan penuh terhadap kepimpinan parti

SEPANG, 28 APR: Akar umbi DAP Sepang Jaya hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Lim Kit Siang, sekaligus menafikan dakwaan jahat sesetengah pihak yang menuduh mereka hilang kepercayaan terhadap Ketua Parlimen DAP itu.

Pengerusinya, P Sivakumar berkata, tuduhan bahawa kononnya 5,000 ahli kaum India hilang kepercayaan terhadap kepimpinan veteran DAP itu adalah satu pembohongan dan sama sekali tidak masuk akal.

P. Sivakumar, Pengerusi DAP Sepang Jaya

“Ini kerana jumlah ahli DAP kaum India di kawasan Sepang cuma dalam lingkungan 200 orang sahaja dan jumlah keseluruhan termasuk kaum Melayu dan Cina pun adalah dalam 2000 orang sahaja,” kata Sivakumar dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sepang mencabar pihak yang membuat tuduhan berkenaan menyatakan bukti dan memohon maaf jika ia didapati hanya dakwaan rambang dan palsu.

Kenyataan beliau itu turut disokong Pengerusi DAP cawangan Kg Sg Keroh Sepang, R Raman; Chong Eng Choon (DAP Cawangan Pantai Sepang Putra); Yap Wee Eng (DAP Cawangan Bandar Sepang) dan Ketua Komuniti India Zon Utara Sepang, A Sivakumar.

R. Vellaisamy dan isterinya, N. Thanaletchumi seperti dilaporkan akhbar pro-kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN), Utusan dan NST pada Rabu lepas mendakwa akar umbi DAP cawangan Pantai Sepang Putra menolak kepimpinan Kit Siang.

Mereka masing-masing adalah bekas Ketua dan Setiausaha DAP cawangan Pantai Sepang Putra.

Dalam pada itu, Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee ketika dihubungi Roketkini berkata, suami isteri itu tidak wajar membuat kenyataan seolah-olah mewakili suara akar umbi parti sedangkan mereka kini bukan lagi ahli parti yang sah.

“Saya berpandangan semua ini dilakukan untuk mengelirukan orang ramai bahawa kononnya DAP adalah satu parti yang mengamalkan pemerintahan kuku besi dan cuba memberi bayangan bahawa parti ini tidak boleh dipercayai,” katanya.

Sedangkan, katanya, DAP adalah parti yang meraikan kepelbagaian pendapat dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan. – Roketkini.