Berita

Calon PM: Guan Eng tegur cubaan PAS main sentimen perkauman

GEORGE TOWN, 28 APR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menzahirkan rasa sedih di atas satu usul PAS yang dilihat cuba membangkitkan ketakutan dan kebencian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum khususnya orang Melayu dan Islam negara ini.

Kenyataan ini dibuat sebagai mengulas satu usul Dewan Ulama PAS dalam Muktamarnya di Kedah semalam yang menggambarkan seolah-olah ada tuntutan daripada masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

“Tidak ada satu orang bukan Islam atau bukan Melayu menuntut menjadi Perdana Menteri dan selama ini calon-calon untuk jawatan Perdana Menteri semuanya orang Melayu dan Islam.

“(Calon) dari pihak pembangkang adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Menyifatkan tindakan PAS itu sebagai cubaan melagakan sentimen perkauman rakyat pelbagai kaum negara ini, Guan Eng berkata tindakan PAS itu tidak mencerminkan semangat Malaysia.

“Sungguhpun PAS hanya mahu mewakili yang beragama Islam atau orang Melayu, tapi ini bukanlah satu semangat Malaysia kerana Malaysia mempunyai penduduk terdiri dari pelbagai suku bangsa dan agama. Dan usaha (PAS) seperti ini saya rasa adalah tidak sihat.

“Saya rasa kita harus menuju kepada sebuah negara yang bersifat ke-Malaysia-an. Marilah kita bersatu berdasarkan nilai-nilai demokrasi, kebebasan, keadilan, dan melawan kemungkaran amalan rasuah,” ujar Setiausaha Agung DAP itu.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Bagan, DAP akan terus berjuang menentang gejala rasuah yang melanda negara seperti skandal 1MDB yang terus menimbulkan banyak persoalan dan masalah ekonomi.

“Yang menakutkan rakyat Malaysia ialah kita melihat keadaan ekonomi yang begitu susah.

Salah satu malapetaka dari 1MDB ini ialah, Kerajaan Persekutuan terpaksa mengenaakn cukai GST kerana mereka tak cukup wang.

“Skandal rasuah ini adalah hasil daripada ketidakmampuan kerajaan menguruskan ekonomi dengan baik,” katanya lagi. –Roketkini.com