Berita

Cubaan bekas ahli DAP Sepang burukkan parti tiada asas, bohong

*Kredit foto mykuasa.org

SEPANG, 29 APR: Cubaan memburuk-burukkan DAP dengan dakwaan ahli akar umbi berketurunan India Cawangan Pantai Sepang Putra hilang keyakinan kepada kepimpinan Ketua Parlimen DAP Lim Kit siang adalah bohong dan berniat jahat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan berkata, apa yang didakwa bekas ahli DAP, R.Vellasamy itu tidak berasas malah dipercayai ada agenda tersembunyi.

“Sila hentikan niat jahat anda menghentam kepimpinan DAP tanpa asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah kata Nyuk Lan, jumlah ahli yang didakwa telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti seperti yang didakwa juga boleh dipertikai.

“Beliau (Vellasamy) mengeluarkan fakta yang tidak benar dan berbohong dengan mendakwa jumlah keahlian DAP dari kaum India sebanyak 5,000 orang, kerana dalam pengetahuan saya, jumlah keseluruhan keahlian DAP Daerah Sepang hanyalah sekitar 2000 orang sahaja.

“Dari keseluruhan jumlah tersebut keahlian dari kaum India tidak melebihi 200 orang,” jelasnya.

Sehingga saat ini ujarnya, perkhidmatan yang diberikan DAP di DUN Sungai Pelek adalah baik dan adil.

“Sebagai ADUN,saya lebih dekat kepada rakyat samada dikalangan ahli DAP atau ahli parti mana sekali pun.

“Kerjasama antara ahli-ahli DAP berjalan dengan baik dan boleh dilihat dalam setiap program yang dianjurkan parti,” katanya.

Ini termasuk program-program parti yang telah dilaksanakan mendapat kerjasama dari semua ahli termasuk dari kaum India.

“Saya tidak nampak ada masalah besar yang melanda parti diluar kawalan.

“Ketidakpuasan hati disalurkan dengan penuh berhemah kepada kepimpinan parti setempat agar dapat ditangani dengan baik dan demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Oleh yang demikian dakwaan beliau tidak berasas dan tidak benar sama sekali,” katanya lagi. -Roketkini.com