Berita

Kebajikan rakyat, pembangunan Islam dan modal insan terus kukuh di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 30 APR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang terus menerajui aspek negeri berkebajikan dan pembangunan Islam melalui dasar pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Hasil daripada urus tadbir cemerlang ini disalurkan semula kepada rakyat dan pembangunan negeri melalui pelbagai program kebajikan, pembangunan, pengukuhan modal insan dan pembangunan Islam.

“Pembangunan Islam di Pulau Pinang yang mendokong kedudukannya sebagai agama Persekutuan tidak diabaikan apabila jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam naik 100 peratus selepas tahun 2008 kepada RM457 juta untuk tempoh 2008 hingga 2016,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas.

Kemakmuan hasil urus tadbir CAT ini turut memberi manfaat yang besar kepada rakyat negeri itu apabila kerajaan negeri menjalankan program Agenda Ekonomi Saksama.

“Satu aspek negeri kebajikan ialah Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan Program i-Sejahtera di mana bantuan kewangan secara wang tunai sebanyak RM 412.63 juta diberikan kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sejak tahun 2008.

“Ia merangkumi Warga Emas, bayi, OKU, Ibu Tunggal, Ibu yang tidak bekerja, pelajar, pemandu teksi, operator bas sekolah berdaftar, penarik beca, bantuan pukat kepada nelayan dan RM1,000 kepada mahasiswa-mahasiswi tempatan,” kata Guan Eng.

Menurutnya, pentadbiran telus kerajaan Pulau Pinang dapat diukur daripada jumlah lebihan bajet sebanyak RM573 yang dikumpul dalam tempoh lapan tahun sejak 2008 sehingga tahun 2015.

Jumlah itu katanya jauh berbeza dengan pentadbiran kerajaan BN sebelum ini yang hanya mencatatkan lebihan bajet sebanyak RM373 juta untuk tempoh 50 tahun.

Kerajaan Negeri juga prihatin apabila memberi potongan cukai pintu sebanyak enam peratus dan pengecualian cukai pintu penuh bagi rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung atau bertanah pada tahun 2017.

“Dengan menambah penyerapan bayaran GST oleh kerajaan tempatan, ini bermakna kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai akan menanggung RM55 juta untuk manfaat rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Kerajan Negeri juga kata Setiausaha Agung DAP itu, akan meneruskan usaha membina infrastuktur asas dan modal insan demi menjamin pembangunan ekonomi yang mampan.

“Sektor pembuatan berada di ambang Revolusi Industri 4.0 yang membabitkan Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things.

“Demi menyertai Industri 4.0, adalah perlu kita membangunkan modal insan yang mencukupi. Tumpuan akan diberikan dalam Pendidikan STEM (Science, Tecnology, Engineering and Maths) demi memastikan Pulau Pinang menjadi pusat kecemerlangan sains dan teknologi,” katanya lagi. – Roketkini.com