Berita

Keperitan penduduk Kg Umpason berakhir, sistem air graviti DAP dilancarkan

KENINGAU, 2 MEI: Sejak hampir 3 tahun, penduduk Kg Umpason di sini hanya bergantung kepada air hujan dan air sungai Pegalan sebagai sumber utama keperluan air.

Anehnya, walaupun hanya terletak hanya lebih kurang 18 kilometer dari pusat bandar dan tepi jalan raya utama Keningau – Tambunan – Kota Kinabalu, entah di mana silapnya kampung ini terus terpinggir daripada arus pembangunan perdana khususnya infrastruktur.

Sebelum ini, pihak penduduk Kg Umpason menggunakan bekalan air graviti, namun sistem itu sering dilanda kerosakan akibat tersumbat. Keadaan bertambah buruk apabila punca sumber air itu juga menjadi kering akibat pembukaan tanah bagi aktiviti pertanian.

Perarakan bermotor sempena pelancaran sistem air graviti dan Cawangan Penaja DAP Kg Umpason

Walaupun wakil-wakil penduduk Kg Umpason telah mengajukan permohonan pembaikan infrastruktur air kampung mereka sebanyak sembilan kali kepada kerajaan, namun tidak ada sebarang maklumbalas positif.

Namun segalanya berubah berkat kerja keras DAP melalui Impian Sabah memberi khidmat kepada masyarakat di sini dengan terbina satu sistem agihan air graviti sepanjang 3.5 kilometer dan menelan belanja sebanyak RM 14,000.

Apa yang membanggakan, pembinaan sistem agihan air graviti ini dilaksanakan melalui gotong-royong oleh penduduk-penduduk Kg Umpason turut dibantu oleh penduduk-penduduk Kg Sungoi, Kg Kepayan Lama, Kg Pangas Ulu dan Kg Pagansangan.

Komitmen yang diberikan DAP dalam pembinaan sistem air graviti ini juga sekaligus menunjukkan parti itu berkhidmat kepada rakyat rakyat selaras dengan slogan ‘Berjuang Untuk Rakyat Malaysia’ tanpa mengira fahaman politik, anutan agama dan kaum.

Keyakinan terhadap perjuangan DAP membela masyarakat yang terpinggir dizahirkan apabila penduduk Kg Umpason bersepakat menubuhkan Cawangan Penaja DAP Umpason yang dipengerusikan oleh Walter Emmanuel.

Majlis Perasmian Sistem Agihan Air Graviti Umpason dan Pelancaran Cawangan Penaja DAP Umpason telah dibuat serentak Sabtu lalu dan dirasmikan oleh Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt bersama Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, Penyelaras DUN Bingkor Jigu Franz Abas dan Ahli Jawatankuasa DAP Sabah.

Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili dalam ucapannya berkata sudah tiba masanya seluruh penduduk Kg Umpason melakukan perubahan demi masa depan rakyat dan Sabah yang lebih baik.

“Parlimen Keningau dipegang oleh Tan Sri Joseph Pairin yang memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan dan Infrastruktur, dan DUN Bingkor diwakili oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan namun kedua-duan mereka gagal melaksanakan mandat yang telah diberi oleh rakyat terhadap mereka,” katanya.

Penyelaras DUN Bingkor, Jigu Franz Abas pula melahirkan rasa hairan dengan sikap kerajaan BN Sabah yang tidak prihatin terhadap masalah yang melanda rakyat khususnya di luar bandar.

“Keperluan asas seperti air adalah sesuatu yang paling asas dan wajib dititik beratkan oleh kerajaan.

“Selepas lebih 50 tahun memegang tampuk pemerintahan, keadaan di Pedalaman Sabah masih jauh ketinggalan,” kata Jigu. –Roketkini.com