Rencana

Anak muda Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan mereka

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman yang dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima sekiranya mereka secara terbuka mengkritik kerajaan.

Ugutan yang amat mendukacitakan ini bukanlah yang pertama dan jika kerajaan yang ada kini dikekalkan, pasti bukan yang terakhir kalinya. Anak muda, apatah lagi yang paling cerdas fikirannya di negara ini tidak harus ditakut-takutkan daripada menjalankan hak mereka yang sah, bukan sahaja sebagai warganegara yang bertanggungjawab tetapi juga sebagai pelajar yang kritis.

Brain Drain

Bank Dunia pada tahun 2011 melalui laporannya yang bertajuk, “Malaysia Economic Monitor: Brain Drain”, menyatakan bahawa bilangan rakyat Malaysia yang berhijrah meninggalkan negara ini telah meningkat tiga kali ganda dalam dua dekad yang lalu. Antara tahun 2000 dan 2010, Malaysia menyaksikan kira-kira satu juta rakyat negara ini berhijrah keluar. Jumlah ini merupakan satu angka yang besar memandangkan penduduk Malaysia hanya sekitar 30 juta orang. Lebih malang lagi, kira-kira satu pertiga daripada mereka yang meninggalkan negara ini adalah golongan profesional muda.

Sebahagian besar daripada mereka yang berhijrah menyatakan persekitaran yang tidak membina fikiran yang kritis dan progresif sebagai antara hambatan utama untuk mereka kekal dalam negara ini. Maka, apabila kerajaan mengugut dan menyekat kebebasan untuk menyatakan pandangan dari peringkat awal lagi, tidak hairan apabila bakat-bakat cemerlang kita ‘terpaksa’ meninggalkan negara yang mereka cintai.

Di mana hak pembayar cukai?

Pada masa yang sama, adalah salah untuk kerajaan menafikan hak warganegara yang membayar cukai. Bukan sahaja ibu bapa mereka, malah anak-anak muda juga merupakan pembayar tetap cukai kepada negara. Meskipun belum menyertai tenaga kerja, pelaksanaan cukai GST memastikan setiap orang di negara ini menjadi penyumbang kepada perbendaharaan negara. Oleh itu, kerajaan tidak wajar menyekat hak mereka yang sah untuk mempersoal dan mengkritik dasar-dasar kerajaan.

Tambahan pula, biasiswa kerajaan itu sendiri merupakan dana awam yang sebahagian besarnya dikutip daripada wang cukai. Justeru, tindakan menindas anak muda dengan mengugut untuk menafikan biasiswa yang sebenarnya merupakan hak mereka sebagai dana awam ini adalah amat menjengkelkan dan langsung tidak boleh diterima.

Ugutan tidak akan melahirkan pemimpin, hanya pemakan dedak

Setelah lebih 40 tahun dasar mengongkong pelajar seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilaksanakan di negara ini, kita telah mula melihat kesannya. Jelas, budaya menghalang pemikiran kritis gagal melahirkan graduan yang berani dan berdaya saing dalam ekonomi global abad ke-21.

Menurut perangkaan kerajaan sendiri, lebih kurang satu perempat daripada graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara kita gagal mencari pekerjaan. Manakala bagi mereka yang bekerja, 45 peratus hanya menerima gaji bulanan RM1,500 atau kurang. Apakah gunanya mendapat kelulusan tinggi tetapi akhirnya dibebani hutang dan tidak mampu menyara diri?

Kini adalah sukar untuk menemukan graduan yang berketrampilan dan yakin diri. Kebanyakan syarikat yang merungut bagaimana rendahnya kemahiran sosial dan komunikasi graduan kita. Mereka tidak mampu untuk memimpin dan menerajui, sebaliknya menjadi pengikut yang hanya mampu menghafal nombor fail dan mematuhi manual prosedur semata-mata.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang tidak membanggakan. Kerajaan tidak berminat untuk memastikan pembangunan modal insan yang berkualiti, dan sebaliknya hanya sibuk memastikan kepatuhan melalui paksaan bagi membolehkan mereka kekal berkuasa.

Saya menyeru agar anak muda sekalian teruskan berfikir dan bersuara. Usah gentar dengan ugutan dan momokan rejim penguasa. Adalah tanggungjawab generasi muda untuk menyedar dan mencerahkan bangsa Malaysia. – Roketkini.com

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera; Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP; merangkap Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi