Rencana

Apa itu media bebas?

Hari ini Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Pada hari ini dan hari-hari lainnya, masih ada rakyat Malaysia, termasuk segelintir wartawan, yang belum faham dan masih keliru mengenai media massa serta amalan kewartawanan di negara ini.

Masih ada yang tidak dapat membezakan di antara media arus perdana dan lidah rasmi parti, dan menganggap kedua-duanya sama. Masih ada juga yang percaya Barisan Nasional berhak menguasai media semata-mata ia adalah kerajaan.

Tulisan ini berhasrat untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul di samping menjernihkan salah faham terhadap media. Setidak-tidaknya biarlah kita faham tentang sesuatu hal sebelum memuji atau mengutuknya. Apatah lagi sekarang ini ramai yang hanya melihat tajuk berita/rencana, malah gambar sahaja, tanpa membaca isinya, terutama di media sosial.

Media bebas biasanya ditakrifkan sebagai media yang tidak dikuasai, dikawal, dihalang, disekat, ditapis atau ditentukan oleh kerajaan, atau korporat yang bersekongkol dengan kerajaan.

Di Malaysia, tidak ramai yang peduli tentang definisi media bebas. Yang sering terpampang hanyalah media massa atau biasanya digelar media arus perdana, yang sentiasa dikawal oleh kerajaan Barisan Nasional sejak Merdeka.

TV dan radio

Yang dikuasai secara langsung oleh kerajaan BN adalah RTM yang hanya menyiarkan berita dan rancangan tentang kebaikan kerajaan sahaja walaupun ia dibiayai 100% oleh wang cukai serta hasil negara.

Yang dikuasai secara tidak langsung, iaitu melalui parti komponen serta kroni melalui syarikat-syarikat swasta adalah Astro dan Media Prima yang di dalamnya termasuklah TV3, NTV7, 8TV dan TV9.

Ini bererti semua stesen TV di Malaysia adalah milik kerajaan BN, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Begitu juga dengan radio pelbagai bahasa yang hampir 100% dikawal secara langsung dan tidak langsung, dan terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan BN.

Di semua siaran TV dan radio, terutamanya dalam Bahasa Melayu, pembangkang hampir tidak muncul sama sekali. Jika ada, ia hanya memburuk-burukkan atau memfitnah mereka. Sehinggakan kejayaan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor membantu rakyat amat jarang disiarkan kerana kedua-dua negeri tersebut ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Akhbar

Sejak sebelum Merdeka, semua media cetak arus perdana dalam Bahasa Melayu adalah pro-perjuangan Melayu tanpa mengira parti walaupun agak bias kepada UMNO. Selepas tahun 1960-an ia mula menyokong UMNO sepenuhnya, terutama kumpulan Utusan Melayu.

Saingan Utusan seperti Berita Harian dan media cetak yang lain juga menyokong UMNO walaupun ada akhbar-akhbar mingguan politik – digelar akhbar nyamuk – memberi ruang kepada pembangkang walaupun agenda mereka tetap politik orang Melayu.

Akhbar-akhbar tabloid Melayu pula dari dulu hingga sekarang hanya menumpukan hal-hal sensasi seperti jenayah, seks, agama dan kaum. Walaupun tidak terang-terang menyokong UMNO, ia masih mencerminkan sokongan kepada politik yang mengutamakan kaum dan agama. Dan setiap kali pilihanraya pula, ia tidak berlindung lagi dalam menyokong UMNO-BN.

Media cetak berbahasa Inggeris seperti The Star menyokong BN walaupun sesekali memberi ruang kepada pembangkang. Manakala New Straits Times jarang memberi muka kepada pembangkang. The Sun yang lahir pada pertengahan 1990-an cuba menjadi akhbar berimbang tetapi ia juga gagal kerana tekanan undang-undang serta kaitan kapitalisme kroni.

Akhbar berbahasa Cina sebelum alaf baru memberi ruang kepada pembangkang tetapi hari ini kebanyakannya sudah beralih untuk menyokong MCA dan BN, malah UMNO juga, kerana pegangan saham mereka sudah dikuasai komponen BN. Akhbar Tamil masih sedikit bebas; mungkin kerana pimpinan BN tidak menganggap undi kaum India mampu menjejaskan kuasa mereka.

Akhbar-akhbar di Sarawak hampir sama tahap kebebasannya seperti di Semenanjung, manakala di Sabah, ada sedikit ruang kebebasan tetapi masih terhad. Mungkin Putrajaya menganggap Sabah masih “setia” dengan BN, dan seperti akhbar-akhbar Tamil di Semenanjung, dianggap tidak begitu menjejaskan kuasa Putrajaya.

Undang-undang

Tidak cukup dengan kawalan serta pemilikan media, kerajaan BN meneruskan legasi penjajah British dengan mengawal media melalui undang-undang. Kawalan, halangan dan sekatan dibuat melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan pelbagai undang-undang “keselamatan” yang boleh mengenakan tindakan terhadap media yang dianggap oleh kerajaan sebagai menjejaskan keselamatan negara.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan mewajibkan pemilik memohon dan membaharui lesen setiap tahun. Ini bermakna jika kerajaan tidak selesa dengan apa yang ditulis, ia berhak untuk tidak memperbaharui permit penerbitan untuk tahun berikutnya. Jika ini berlaku, bayangkan apa akan terjadi kepada ratusan, malah ribuan petugas media serta keluarga mereka apabila syarikat tidak dapat beroperasi kerana lesen tidak dibaharui? Tekanan seperti ini menyebabkan pemilik media serta pimpinan pengarang terpaksa akur dengan realiti politik semasa.

Akta Hasutan pula telah beberapa kali memangsakan wartawan yang dihumban ke dalam lokap manakala Akta Komunikasi dan Multimedia pula mengheret wartawan untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa, semata-mata kerana menjalankan tugas mereka sebagai pelapor, pemerhati dan penganalisis politik semasa.

Begitu juga Akta Rahsia Rasmi yang banyak merahsiakan hal-ehwal kerajaan yang semakin tidak diketahui oleh rakyat tentang bagaimana wang cukai rakyat dibelanjakan, sama ada pentadbiran negara telus atau tidak, dan pelbagai hal lain.

Laman web dan portal berita

Berikutan segala bentuk sekatan yang ada, pada akhir alaf lama, terutamanya sewaktu reformasi 1998 – pemecatan, penahanan, pembantaian dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim – telah muncul laman-laman web, blog dan portal berita yang menawarkan alternatif kepada media kawalan kerajaan.

Dari situ lahirnya portal berita Malaysiakini dan AgendaMalaysia, dan beberapa laman web yang menyiarkan tulisan alternatif yang sebelum ini dinafikan siaran di media arus perdana. Pada masa itu belum ada undang-undang untuk mengawal ruang alam maya.

Namun sejak sedekad lalu, kawalan mula dikuatkuasakan. Berikutan ledakan media sosial pula seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, semakin sukar bagi pembaca membezakan apa yang benar dan apa yang palsu. Lebih teruk lagi apabila secebis fakta digoreng begitu rupa sehingga fitnah dianggap berita sahih.

Selain kekangan pemerintah, portal berita turut menghadapi masalah mendapatkan sumber kewangan. Kerana berani, tekanan pihak berkuasa menyebabkan sukar bagi portal berita mendapatkan iklan. Bukan sahaja Malaysiakini, malah The Malaysian Insider juga mengalami masalah yang sama. Sektor korporat tidak berani melabur dalam media yang dianggap berisiko.

Tidak cukup dengan itu, cybertroopers pro-kerajaan sentiasa menyerang portal berita yang berani untuk memburukkan mereka. Antaranya, tuduhan “portal berita pro-pembangkang” walaupun Malaysiakini dan The Malaysian Insider memberi ruang adil untuk semua pihak yang terlibat dalam satu-satu isu.

Media milik parti politik

Undang-undang di Malaysia memisahkan media arus perdana dengan media milik parti seperti Rocket, Suara Keadilan, Harakah dan sebagainya. Sebenarnya ia bukan untuk parti pembangkang sahaja. UMNO dan komponen BN juga mempunyai media parti sendiri. Bentuk media ini biasanya digelar lidah rasmi parti atau organ parti.

UMNO mempunyai lidah rasmi bernama Merdeka manakala MCA memiliki The Guardian. Tetapi dari segi amalannya, kedua-dua parti itu tidak memerlukan suara parti sendiri kerana mereka sudah pun menguasai media arus perdana seperti Utusan dan The Star.

Jadi apa beza media arus perdana dengan media milik parti?

Kedua-duanya tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Yang membezakannya ialah lesen media arus perdana membenarkannya terbit setiap hari dan bebas dijual kepada umum. Manakala media parti disekat penerbitannya, iaitu hanya dibenarkan maksimum dua kali sebulan atau sebulan sekali sahaja, mengikut kehendak pihak berkuasa. Malah, muka depan lidah rasmi parti wajib mempunyai frasa “Untuk Ahli Sahaja”.

Dalam hal ini, ia tidak adil kerana Utusan Malaysia dan The Star yang masing-masing merupakan “suara” UMNO dan MCA boleh menyamar sebagai media arus perdana. Ini berat sebelah kerana padangnya tidak sama rata.

Erti media bebas

Oleh itu, jika ada mana-mana pensyarah, wartawan, atau pakar media mengatakan media pembangkang seperti The Rocket atau Suara Keadilan juga tidak adil kerana tidak memberi ruang kepada BN, ia hanya mendedahkan tahap pemikiran mereka dalam memahami undang-undang dan amalan kewartawanan di Malaysia.

Seperti yang dijelaskan, media parti milik pembangkang yang amat terhad edarannya terpaksa menumpukan berita dan rencana hal-hal parti sendiri, termasuk kritikan-kritikan pimpinannya terhadap BN kerana media arus perdana tidak akan menyiarkannya.

Malah, tidak ada logik jika kenyataan-kenyataan pemimpin BN disiarkan oleh media pembangkang kerana kenyataan-kenyataan tersebut sudah pun disiarkan oleh TV, radio, akhbar, laman web, dan segala macam media sosial yang dikuasai BN. Semua rakyat Malaysia terdedah kepada media kawalan BN sedangkan suara rasmi pembangkang amat terhad kepada ahli dan penyokong sahaja.

Bagi memperbaiki keadaan yang tempang ini, perlu dilaksanakan pembaharuan. Di bawah kawalan BN, tidak nampak bayang ke arah itu. Maka, beban ini terletak di bahu Pakatan Harapan jika berjaya membentuk kerajaan.

Walaupun media arus perdana hari ini bertungkus-lumus mahu memastikan terkuburnya barisan pembangkang, apabila mendapat mandat rakyat sebagai kerajaan nanti, Pakatan Harapan perlu membenarkan media arus perdana beroperasi seperti biasa tanpa undang-undang yang mencengkam kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Malah, kerajaan baru perlu secara telus mengamalkan tender terbuka untuk mana-mana pihak yang layak dan mampu untuk membeli atau memiliki media. Pada masa yang sama, media sosial dan internet perlu bebas bersuara, dan tidak akan dikekang oleh kerajaan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa kebebasan media tidak boleh hidup sendiri dalam ruang vakuum. Ia memerlukan banyak ruang sektor dibuka bersama supaya kerajaan yang baru tidak boleh memangsakan media atau rakyat yang berani bersuara demi kebenaran dan keadilan.

Untuk Malaysia yang baru, ia memerlukan pilihanraya yang adil, bebas dan bersih. Ia memerlukan kerajaan yang bersih, telus, cekap, anti-rasuah, dan amanah. Ia memerlukan pemupukan sikap bertanggungjawab dan bangga menjadi warga bersama tanpa perlu bermain politik kaum dan agama.

Yang penting, apabila mengamalkan kebebasan dan hak, pastikan ia sentiasa diimbangi dengan tanggungjawab. – Roketkini.com