Berita

‘Kami redah sungai bantu mangsa banjir, mana wakil rakyat BN?’

SOOK, 2 MEI: Kesukaran mangsa banjir besar di Kg Batu Lunguyan yang melanda kampung mereka akibat musnahnya jambatan gantung yang menjadi penghubung dirasai sendiri pasukan DAP Pensiangan.

Penduduk kampung yang ditemui berkata, walaupun sudah dua kali banjir melanda, tidak ada seorang pun wakil kerajaan datang untuk meninjau keadaan mereka atau memberikan sebarang bantuan.

Penduduk kampung yang terjejas akibat jambantan gantung yang musnah.

Dalam usaha meringankan beban penduduk yang terjejas, pasukan DAP Pensiangan turun padang menghantar bantuan berbentuk makanan dan minuman bagi empat keluarga yang terpaksa meredah sungai untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Kami merasai sendiri kesukaran menyeberangi sungai untuk keseberang bersama barang-barang keperluan makanan.

“Bayangkan pula bagaimana kanak- kanak yang menyeberangi sungai untuk kesekolah dan mengeluarkan hasil pertanian penduduk kampung,” kata Penyelaras DAP Sook, Clare Taunek Simbat.
Menurut Clare, pihaknya berasa kesal dengan tindak-tanduk penyokong Barisan Nasional (BN) Pensiangan yang mendakwa setiap isu dan permasalahan rakyat Pensiangan yang diutarakan pihaknya dianggap pembohongan.
“Paling kami kesali bila setiap isu yang kami kemukakan bagi pihak rakyat dianggap penipuan dan fitnah bagi penyokong pihak kerajaan.

“Saya minta mereka ini datang dan lihat sendiri untuk memastikan sendiri situasi sebenar,” katanya lagi.

Terdahulu, pasukan DAP Pensiangan sempat bergotong royong membersihkan rumah salah seorang penduduk kampung di Tulid yang terjejas teruk pada masa yang sama memberikan bantuan banjir kepada mangsa.

Penyelaras DAP Tulis, Robinson Rusikan berkata, bantuan ini merupakan tanda keperihatin DAP terhadap masalah penduduk di sini.

“Sebarang bentuk bantuan atau permasalahan yang dikemukan oleh DAP Pensiangan bukanlah semata-mata untuk mendapatkan publisiti atau ingin mencabar kerajaan tapi kerana DAP perihatin dan sebuah parti yang bertindak demi kepentingan semua,” ujar Robinson. –Roketkini.com