Berita

Lawatan isteri Perdana Menteri ke UK: Berapa kos kerajaan tanggung?

PETALING JAYA, 4 MEI: PERMATA digesa mendedahkan keseluruhan kos yang dikeluarkan kerajaan bagi menampung perbelanjaan lawatan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu ke London, United Kingdom (UK) selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Mei depan.

Gesaan itu dibuat Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin yang bimbang wang pembayar cukai digunakan secara sewenang-wenangnya sedangkan pelbagai peruntukan bagi sektor perkhidmatan awam dan subsidi dipotong dalam belanjawan kerajaan yang lalu.

“Jika ia didanai wang cukai rakyat, adakah patut kerajaan mengeluarkan belanja besar untuk lawatan ini sedangkan pelbagai bajet hampir semua sektor perkhidmatan awam dan subsidi dipotong? Malah, adakah lawatan ini sebenarnya perlu?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kehadiran dua menteri iaitu Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Datuk Seri Azalina Othman mengiringi Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan tersebut.

“Adakah kita perlukan dua menteri untuk menyertai lawatan ini? Apa yang mereka buat di UK selama seminggu?

“Gaji menteri dibayar menggunakan wang pembayar cukai jadi mereka perlu bertanggungjawab terhadap kita mengenai lawatan rasmi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan program Minda Nobel anjuran PERMATA pintar dengan Royal Society of London yang sebelum ini dilakukan di Malaysia namun diadakan di UK untuk kali ini.

“Kami ambil maklum bahawa PERMATA pintar telah menganjurkan bengkel Minda Nobel sebelum ini pada Januari 2013, Oktober 2013, November 2014, dan September 2016. Semua ini diadakan di Malaysia.

“Kenapa tiba-tiba program Minda Nobel ini dilangsungkan di UK pula?” soalnya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.

Beliau turut mempersoalkan sama ada majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara Cambridge University dan University of Oxford yang disaksikan Rosmah Mansor yang juga isteri perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dibayar oleh PERMATA.

“Adakah PERMATA perlu membayar untuk menjalinkan kerjasama penuh ‘glamor’ itu? Berapa kosnya?” soalnya lagi. – Roketkini.com