Berita

Siasat segera skandal 1MDB, bukannya ‘korek bangkai gajah’ – Lim Kit Siang

PUTRAJAYA, 4 MEI: Apa yang cuba dilakukan kerajaan UMNO-Barisan Nasional apabila menubuhkan Pasukan Petugas Khas menyiasat skandal forex Bank Negara tahun 1990-an berbanding menyiasat penyelewengan puluhan billion 1MDB yang berlaku saat ini?

Menyifatkan ia umpama ‘mengorek semula bangkai gajah’, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan adakah penubuhkan pasukan penyiasat forex itu benar-benar berlandaskan prinsip ketelusan dan urus tadbir yang baik.

“Pengajaran terpenting kerugian forex Bank Negara Malaysia suku abad lalu ialah kegagalan menteri-menteri, pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, Ahli-ahli Parlimen dan media untuk memainkan peranan mereka menegakkan prinsip ketelusan dan urus tadbir yang baik,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan saat ini seolah-olah cuba mengulangi kesilapan yang sama apabila kerajaan gagal menyiasat skandal mega 1MDB yang sedang berlaku.

“Pasukan khas ini telah digambarkan sebagai ‘menggali semula bangkai gajah di era Dr Mahathir’.

“Mengapa kita tidak lihat masalah besar yang berlaku depan mata iaitu skandal penggubahan wang haram 1MDB yang telah memalukan nama Malaysia sebagai negara kleptokrasi global?

“Atau adakah kita akan menunggu suku abad lagi sebelum pasukan petugas khas ‘mengorek semula bangkai gajah’ skandal 1MDB, mungkin di tahun 2040?” soal Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu membuat kenyataan berkenaan selepas selesai pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas Skandal Forex Bank Negara 1990-an diiringi peguam, Ram Karpal di luar lobi Kementerian Kewangan Malaysia, dekat sini sebentar tadi.

“Mereka tanya saya sama ada adakah saya terlibat?

“Apa yang saya katakan, apa pun maklumat daripada saya telah diketahui umum melalui ucapan saya di Parlimen pada tahun 1993 dan 1994,” katanya lagi. – Roketkini.com