Berita

Syarat tak logik biasiswa JPA: DAP gesa campur tangan Najib

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Setelah gagal mendapatkan maklum balas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung syarat tidak masuk akal permohonan biasiswa yang ditetapkan agensi itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini tampil menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Teresa membuat gesaan itu dengan merujuk syarat ketat yang dikenakan JPA terhadap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon Program Penajaan 9A+ berbanding Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis, Jerman (JKPJ) yang dibangkitkan beliau dua hari lepas.

“Biasiswa luar negara (JKPJ) hanya memerlukan 7A, manakala biasiswa domestik, iaitu Program Penajaan 9A+ memerlukan keputusan 9A+.

“Bunyinya tidak logik sama sekali, namun, inilah jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany di sidang Dewan Rakyat pada 5 April lepas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa lepas.

Ekoran daripada itu, Teresa dalam kenyataan yang sama menggesa JPA dan Devamany menjelaskan isu itu kepada masyarakat umum.

Namun, sehingga kini, katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, tidak ada sebarang jawapan yang diterima pihaknya berhubung perkara berkenaan.

“Saya menjangkakan jawapan pantas daripada Datuk Devamany atau Pengarah JPA, Datuk Seri Zainal Rahim Seman, namun sehingga kini tidak ada seorangpun daripada mereka memberi maklum balas berkenaan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sikap berdiam diri sedemikian, kata Teresa, adalah tidak wajar kerana ia melibatkan wang pembayar cukai.

“Oleh itu, Perdana Menteri mesti memanggil Zainal Rahim untuk menjelaskan kepada Kabinet,” ujarnya.

Teresa dalam pada itu, turut meminta agar Kabinet mengkaji semula keputusan JPA menolak permohonan pelajar cemerlang, Teh Xin Yi mengikuti Program Khas Kejuruteraan JKPJ walaupun memperolehi 11A+.

Xin Yi merupakan salah seorang daripada 102 pelajar yang memperolehi keputusan semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil bagi SPM 2016. – Roketkini.com