Berita

Kerajaan jangan ambil ringan masalah penduduk PPR

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kepentingan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang majoritinya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah tidak harus dipandang ringan oleh kerajaan dan pihak berkuasa, kata Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Kekurangan ruang letak kereta, katanya, adalah antara masalah yang dihadapi penduduk PPR ekoran perancangan yang lemah serta sikap ‘asal buat kerja sahaja’ yang ditunjukkan kerajaan dan pihak pemaju.

“Masalah besar yang dihadapi kebanyakan PPR di Kuala Lumpur khususnya Tititwangsa adalah masalah ruang letak kereta yang sangat terbatas, ini menyebabkan masalah ‘double parking‘ malah sehingga ‘triple parking‘.

“Saya membayangkan sekiranya berlaku kecemasan, pastinya kenderaan-kenderaan seperti Trak Bomba dan Ambulans akan menghadapi masalah untuk membantu, akhirnya penduduk PPR tersebut juga yang merana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, katanya, projek pembinaan tempat letak kereta berbumbung yang telah dilaksanakan di sesetengah kawasan PPR seharusnya dibina bersekali dengan PPR yang baru bagi menggurangkan kos dan risiko sama berulang.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan turut membangkitkan penyelengaran tidak sempurna di PPR Pantai Permai di mana pili bomba dan pemadam api berada dalam keadaan yang tidak baik sekaligus mengundang bahaya kepada penduduk.

“Kalau kebakaran berlaku dan masalah jalan sempit dan alat kecemasan tidak berfungsi, saya tidak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi,” ujarnya.

Justeru, katanya, adalah menjadi misi besar beliau untuk memastikan sebarang pembangunan yang dirancang untuk rakyat tidak mengira lapisan masyarakat dijalankan dengan mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan dan kelestarian penduduk.

“Jika kita masih berterusan dengan sikap yang tidak sensitif kepada rakyat ini bakal menjerumuskan generasi akan datang turut mewarisi masalah yang sama,” katanya lagi. – Roketkini.com