Berita

ADUN MCA dibidas cadang pindah lokasi menara jam bersejarah

KOTA KINABALU, 8 MEI: Cadangan ADUN MCA Luyang, Dr Hiew King Cheu supaya binaan bersejarah, Atkinson Tower dipindahkan dari lokasi asal untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersil di sini dibidas Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe.

Ia ekoran kenyataan Hiew yang dilapor Daily Express baru-baru ini mencadangkan supaya menara jam itu dipindahkan ke suatu lokasi ketika mengulas cadangan Majlis Bandaraya Kota Kinabalu untuk membina hotel 18 tingkat dan pusat membeli belah.

Phoong Jin Zhe, Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Penyelaras DUN Luyang.

“Kerajaan perlu hentikan idea bodoh dan mengarut wakil rakyat MCA ini dan perlu memastikan lokasi menara jam itu dipelihara sebagai kawasan terbuka dan bukan dipindahkan untuk sebuah bangunan komersil,” kata Jin Zhe dalam kenyataan.

Sebaliknya, beliau yang juga Penyelaras DAP DUN Luyang itu menegaskan supaya menara jam berusia 112 tahun itu dipelihara sebagai warisan negara.

“Ia tidak patut dipindahkan atau dimusnahkan semata-mata demi pembangunan.

“Saya ingin tegaskan bahawa bangunan atau binaan bersejarah di Kota Kinabalu perlu dikekalkan kerana bandar tanpa warisan sejarah umpama manusia tanpa jiwa dan identiti,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bandar yang hebat adalah bandar yang dapat mengekalkan kekayaan warisan sejarah.

“Ia juga mampu menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung dan mempelajari sejarah serta cara hidup tempatan.

“Selain itu, ia juga dapat membantu generasi akan datang mengenal dan mempelajari sejarah kita,” katanya.

Menurut Jin Zhe, pembangunan melampau di Kota Kinabalu hanya akan memusnahkan bangunan dan binaan bersejarah yang menjadi nadi kepada sesebuah bandar.

“Sebarang pembangunan di Kota Kinabalu perlulah sejajar dengan pemuliharaan bangunan warisan sejarah kita,” katanya lagi. -Roketkini.com