Berita

Agenda ekonomi Najib lemah, ketirisan berleluasa

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pakatan Harapan hari ini menempelak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menuduh pembangkang kononnya tidak mempunyai agenda untuk memakmurkan rakyat dan negara.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, Pakatan Harapan sekali lagi menegaskan bahawa gabungan itu komited dalam memperjuangkan isu rakyat dan menentang amalan UMNO-Barisan Nasional (BN) seperti rasuah, kronisme serta dasar yang menindas.

“Hari ini, dunia mentertawakan Malaysia kerana terpalit dengan skandal besar 1MDB, di mana sebahagian wang 1MDB telah masuk ke akaun Najib Razak ‘tanpa disengajakan’.

“Perlabelan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan dasar kleptokrat adalah perkara yang memalukan atau adakah ini sebenarnya sebahagian agenda Barisan Nasional pada hari ini?” soal Pakatan Harapan dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tsee; Ketua Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Mohd Hatta Ramli; dan Pengerusi Biro Parlimen Felda DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan juga menyenaraikan beberapa agenda yang telah lama diperjuangkan gabungan itu demi kepentingan rakyat antaranya memperkenalkan semula subsidi minyak dan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kewujudan Pakatan Harapan jelas untuk menumbangkan UMNO-BN dalam pilihan raya umum yang akan datang, serta mewujudkan pentadbiran yang mengutamakan rakyat melalui penentangan kezaliman,” kata Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan turut melahirkan kebimbangan dengan tindakan UMNO-BN yang memberikan tanah pegangan bebas (tanpa had tempoh pajakan) untuk pemaju – yang sebahagian besarnya syarikat China – untuk membangunkan projek Forest City di Johor.

“Situasi ini amat membimbangkan rakyat mengenai penguasaan tanah oleh warganegara asing,” ujar mereka.

Justeru itu, Pakatan Harapan menegaskan bahawa mereka mempunyai agenda kukuh untuk menyelamatkan negara daripada kezaliman UMNO-BN, berbanding parti pemerintah itu yang tidak mempunyai agenda yang jelas sehingga gagal mentadbir negara dengan baik.

“Hari ini, agenda BN lah yang tidak jelas sama sekali – kegagalan mentadbir dan mengharmonikan Malaysia, apatah lagi terjebak pula dengan pelbagai skandal dan ketirisan,” ujar Pakatan Harapan.

Malah, gabungan itu turut menasihati UMNO-BN agar tidak lagi memainkan isu perkauman, perbalahan agama, perpecahan pembangkang dan penjawat awam kerana rakyat kini sudah boleh menilai dengan bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda jahat tersebut. – Roketkini.com.