Berita

UMNO mangsakan pelajar UiTM penuhkan program sambutan ulang tahun

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Sosialis Muda DAP (DAPSY) kesal dengan tindakan pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa menipu pelajarnya supaya menyertai Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-71 bermula hari ini.

Menyifatkan ia sebagai melanggar integriti dan etika akademik, Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY, Leong Yu Sheng berkata tindakan berkenaan telah mencemari institusi pengajian tinggi yang sepatutnya menjadi tempat untuk menuntut ilmu.

“UiTM yang dipimpin oleh Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar memperalatkan mahasiswa untuk menghiburkan pimpinan UMNO.

Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY, Leong Yu Sheng

“Beberapa kumpulan mahasiswa UiTM mengadu bahawa mereka telah ditipu dan diwajibkan oleh pihak pengurusan tertinggi UiTM untuk hadir ke ‘Program Sukarelawan Patriotisme’ yang sebenarnya merupakan sambutan Hari Ulang Tahun UMNO yang Ke-71.

“Tambahan pula, pihak universiti juga berjanji akan menyediakan surat pengecualian kuliah kepada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yu Sheng berkata, tindakan UiTM itu amat memalukan kerana sanggup mengorbankan masa pelajar dengan menjadikan mereka seolah-olah alat mainan dalam program anjuran UMNO.

Malah, katanya, ia dilakukan UMNO sebagai tindakan terdesak parti itu ekoran kehilangan sokongan anak muda.

“Saya membidas tindakan Naib Canselor UiTM yang menyalahgunakan kuasanya dalam perkara ini. Pemaksaan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik oleh pihak universiti harus dipandang serius oleh masyarakat dan ahli akademik,” ujarnya. – Roketkini.com