Berita

Kalau ada maruah, Exco PAS Selangor patut letak jawatan

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Setelah lama berdolak-dalik, PAS akhirnya membuat keputusan muktamad memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR melalui pengumuman majlis syura ulama parti itu semalam.

Keputusan yang dilihat ramai sebagai batu loncatan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda perubahan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan lain tentang kedudukan PAS dalam barisan ahli majlis mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri berkata exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor patut meletak jawatan sejajar dengan keputusan majlis syura ulama PAS.

“Jika exco PAS ada maruah, mereka harus meletakkan jawatan kecuali yang berada dalam kerajaan Selangor memutuskan enggan patuh kepada keputusan majlis syura ulama PAS.

“Atau, jika mereka pentingkan rakyat, mereka boleh keluar PAS dan menyertai salah satu parti Pakatan Harapan.

“Dengan cara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali boleh kekalkan mereka dalam kerajaan negeri,” katanya dihubungi Roketkini.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru, Sallehen Mukhyi berkata walaupun tahaluf siyasi PAS dan PKR terbatal, PAS akan tetap kekal dalam kerajaan negeri demi “maslahah” (kepentingan) rakyat.

Datuk Arif yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu turut berpandangan bahawa PKR tidak perlu ‘memujuk’ PAS negeri itu malah kerajaan PH Selangor akan terus bertahan tanpa PAS.

“Bilangan majoriti Azmin masih boleh bertahan, bentuk kerajaan tanpa PAS,” ujar beliau.

Kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor kata Datuk Ariff lagi hanya akan mewujudkan lebih banyak perbezaan yang akan membawa kepada perpecahan.

“Biarkan PAS dan UMNO bergabung. Kontradiksi (jika PAS kekal dalam kerajaan Selangor) dalaman akan membawa kepada perpecahan.

Problem PAS sekarang ialah Haji Hadi,” katanya lagi.

Senator DAP, Dr Ariffin Omar ketika dihubungi berpendapat bahawa PKR Selangor akan cuba untuk mengekalkan ‘hubungan baik’ mereka dengan PAS dengan harapan parti itu akan berubah fikiran.

Namun, perkembangan kerjasama politik PAS dan UMNO pula menunjukkan PAS tidak lagi berminat untuk menjalinkan hubungan dengan Pakatan Harapan.

“Bila kita tengok situasi macam ni, sebenarnya PAS sudah tak ada lagi harapan untuk meninggalkan dasar-dasar dan pemikiran pro-UMNO mereka,” kata Dr Ariffin.

Dalam perkara berkaitan, semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memuji sikap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap dalam majlis sambutan ulang tahun UMNO ke 71 di Bukit Jalil.

Dalam ucapannya, Najib berkata kerjasama antara PAS dan UMNO adalah satu amalan politik matang. -Roketkini.com