Berita

498 penduduk kampung dapat manfaat Kem Kesihatan anjuran DAP Pensiangan

NABAWAN, 16 MEI: Seramai 498 penduduk dari tiga kampung di Daerah Kecil Pagalungan di sini mendapat manfaat daripada Kem Kesihatan Impian Sabah anjuran DAP Pensiangan baru-baru ini.

Sambutan mesra dan menggalakkan daripada penduduk Kg Babalitan, Kg Tinanduk dan Kg Siningkaluan itu membuktikan bahawa perkhidmatan kesihatan yang berkualiti merupakan keperluan penting khususnya bagi masyarakat pedalaman di sini.

Kem Kesihatan Impian Sabah pada kali ini disertai oleh enam doktor pakar bersama sembilan pembantu dan ahli farmasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan kulit, jantung, mata serta penyakit umum.

Tidak ada yang lebih memberikan kepuasan buat sukarelawan apabila penduduk kampung meluahkan rasa kesyukuran dan gembira dengan penganjuran program ini.

Ketua Kg Tinanduk, Tarisan Anguyong 74, ketika ditemui berkata, dia dan seluruh penduduk kampung berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Impian sabah dan DAP pensiangan yang menganjurkan kem kesihatan seupama ini.

“Penduduk kampung sangat-sangat bersyukur kerana adanya kem seumpama ini memandangkan keadaan kampung sekitar Pensiangan ini sukar mendapatkan perkhidmatan kesihatan dari klinik kerajaan di Pengalungan, (lokasi) jauh dan pengangkutan seperti bot juga tidak banyak, kos juga mahal yang menjadi penghalang utama bagi penduduk kampung,” katanya kepada Roketkini.

Seorang lagi penduduk, Talimu Guyung menyatakan harapannya supaya program seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang pula berkata, progaram yang memberi fokus kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti ini juga turut memberikan ubat-ubatan serta pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk kampung.

“Usaha dan kerja keras petugas Impian Sabah dan beberapa sukarelawan DAP yang terdiri dari 15 orang kesemuanya, kami akhirnya berjaya melaksanakan program.

“Kami berdepan dengan cabaran kerana terpaksa melalui sungai-sungai deras dengan menaiki bot,” kata Adrian.

Turut sama menjayakan program selama tiga hari tersebut ialah Penyelas DAP Sook, Clare Taunek yang membantu petugas kesihatan.

Clare melahirkan rasa simpati terhadap penduduk yang mana kebanyakannya adalah dari kaum ibu dan kanak-kanak.

“Dengan program sebegini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang memerlukan rawatan kesihatan,” katanya. -Roketkini.com