Berita

Kerajaan UMNO-BN Perak lemah, gagal urus GLC dengan baik

IPOH, 16 MEI: Syarikat Milik Kerajaan (GLC), Perak Corp Bhd digantung daripada menjalankan urus niaga di Bursa Malaysia kerana gagal mengeluarkan laporan kewangan tahunan yang berakhir pada 31 Disember 2016 selewat-lewatnya pada 30 April lepas.

Ekoran itu, syarikat yang sahamnya dimiliki 52.37 peratus Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu berdepan risiko dinyah senarai daripada papan Bursa Malaysia jika laporan kewangan tahunan itu tidak dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh yang sepatutnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berkata, tindakan penggantungan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri yang ditadbir UMNO-Barisan Nasional (BN) menguruskan syarikat berkenaan.

Kesannya, kata Penasihat DAP Perak itu, PKNP yang ditubuhkan bagi memacu ekonomi dan perkembangan sosio-ekonomi negeri dibimbangi gagal menjalankan fungsinya dengan baik berikutan tindakan penggantungan itu.

“Kegagalan ini juga sebenarnya memberikan persepsi yang tidak baik kepada pelabur terhadap kebolehpercayaan mereka terhadap kerajaan negeri Perak dan seterusnya akan membawa kesan besar ke atas prestasi ekonomi negeri Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Adun Sitiawan turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan berdiam diri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga merupakan Pengerusi PKNP berhubung isu berkenaan.

“Saya menyeru Menteri Besar untuk memberikan penerangan kepada rakyat tentang isu-isu berkaitan yang menyebabkan Perak Corp Berhad gagal mengeluarkan laporan kewangan tahunannya bagi tahun 2016 selain mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu,” katanya. – Roketkini.com