Berita

Larangan SPR edar daftar pemilih timbulkan keraguan – DAPSY P.Pinang

GEORGE TOWN, 16 MAC: Sosialis Muda DAP (DAPSY) Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) berbanding sebelum ini.

Tindakan itu kata ketuanya, Foo Yu Keong, hanya akan menyukarkan parti-parti politik untuk memantau dan memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih.

Akibatnya, sistem daftar pemilih yang ada mampu menundang kepada penipuan dalam pilihan raya.

“Ini kerana sebaik sahaja daftar pemilih diwartakan, bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya, orang awam tidak boleh membuat bantahan dan cabaran terhadapnya,” katanya dalam kenyataan.

DAPSY Pulau Pinang menghantar bantahan ke pejabat SPR negeri hari ini.

Beliau merujuk kepada kepada Surat Pekeliling oleh Setiausaha SPR Datuk Haji Abdul Ghani bin Salleh, nombor rujukan: S.P.R.600-3/1/4(27) yang mengarahkan semua Pengarah SPR negeri mematuhi arahan untuk melarang pengedaran RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat kepada parti politik pada 28 Mac lalu.

Edaran RDPT tersebut kata Yu Keong penting untuk memastikan parti politik sebagai agen semak dan imbang terhadap maklumat pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ia juga akan memudahkan pemilih untuk membuat semakan di pusat khidmat wakil rakyat atau parti politik.

“Arahan ini menimbulkan banyak keraguan kerana dikeluarkan menjelang pilihan raya umum ke-14. Tanpa pengedaran RDPT, pemilih sukar buat semakan samada mereka telah didaftar atau belum.

“Justeru DAPSY Pulau Pinang memohon SPR menarik balik larangan pengedaran rang daftar pemilih tambahan kepada semua pihak yang yang ingin memilikinya samada daripada parti politik mahupun badan bukan kerajaan.

“SPR perlu mainkan peranan adil dan saksama, menjanjikan proses demokrasi dijalankan dengan lancar bagi mengelak lebih presepsi buruk terhadap SPR selepas beberapa pendedahan penyelewengan SPR yang sedikit sebanyak merosakkan nama suruhanjaya itu,” katanya lagi yang turut mennghantar bantahan di pejabat SPR negeri hari ini. –Roketkini.com