Berita

PAS terdesak buat kerja UMNO, heret institusi istana dalam kancah politik

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sikap PAS yang semakin kuat menyerang parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP menunjukkan parti itu sedang ‘membuat kerja-kerja UMNO’ kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji.

Malah, keengganan exco PAS Selangor untuk meletak jawatan dengan pelbagai alasan tidak munasabah dan lucu menggambarkan ia amat terdesak untuk mengekalkan pengaruh dan ‘sumber’ mereka.

Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, Ketua PEmbangkang DUN Pahang, AJK DAP Pahang, ADUN Mentakab

PAS antara lain menggunakan alasan lantikan exco tidak melalui pilihan raya dan mendapat restu Sultan pada masa yang sama mendakwa tidak mahu ‘DAP buat kerja jahat’.

“Sekarang ini sudah sah PAS buat kerja UMNO. Semasa dalam kerajaan Pakatan Rakyat dulu tidak timbul provokasi kerja kerja jahat kononnya dilakukan DAP.

“PAS kini cuba mengheret istana dalam permainan politik mereka.

“Kerja jahat yang sepatutnya PAS tegur dan lawan ialah mencuri duit rakyat, rasuah, salah guna kuasa, PAS patut tegur UMNO,” katanya kepada Roketkini.

Jelas Tengku Zul, alasan yang diberikan PAS seperti itu jelas sekadar untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam kerajaan PH Selangor.

“Kalau nak halang atau tak sokong apa-apa usaha cadangan baik daripada DAP pun tak payah duduk dalam exco, jadi ADUN pun boleh nyatakan bantahan dalam dewan dengan hujah yang munasabah,” jelas beliau.

Apa yang jelas kata beliau, PAS gentar exconya tidak dapat pencen exco dan takut semua jawatan lantikan seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis dan jawatan lantikan kerajaan Negeri Selangor serta kemudahan yang disediakan hilang.

Malang lagi apabila PAS terus selesa menggunakan sentimen agama dan kaum dalam kempen-kempen mereka.

“PAS sudah jadi seperti UMNO yang makin terdesak dan sanggup menggunakan pendekatan agama dan perkauman demi menarik sokongan khasnya orang Melayu.

“Apa yang mereka buat kononnya semua ikut agama, kumpulan atau parti yang tak sehaluan dilabel dengan macam-macam kata nista seperti butir ta*k, barua, anjing, tolol, kafir, sesat dan seumpamanya yang tak mencerminkan langsung akhlak ulama atau agamawan,” katanya lagi. -Roketkini.com