Berita

Semoga Hadi cepat sembuh – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari mengucapkan syabas kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas kejayaan pembedahan penggantian injap jantung (valve replacement)  yang dijalankan semalam.

“Saya ucapkan syabas buat Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang berjaya menjalani pembedahan jantung dan semoga segera pulih dan sihat seperti sediakala,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, walaupun wujud perbezaan politik, setiap pemimpin perlu matang, bersifat sivik, sopan dan tidak harus menjadikan perbezaan itu bersifat dendam dan amarah peribadi untuk menarik sokongan rakyat.

“Sepanjang 51 tahun saya dalam politik Malaysia melewati enam Perdana Menteri dan Presiden UMNO, perbezaan politik tidak menjadikan saya berdendam secara peribadi dengan mereka malah  kami boleh bekerjasama demi kepentingan nasional sama ada dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn mahu pun Tun Mahathir.

“Begitu juga hubungan saya dengan lima Presiden PAS sepanjang tempoh separuh abad ini, perbezaan politik tidak menjadikan saya makan hati, bermusuhan atau benci-membenci secara peribadi,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Apa yang terpenting kepada seluruh rakyat Malaysia yang bakal menyambut hari kebangsaan ke 60 tahun ujarnya ialah semangat bersetuju untuk tidak bersetuju tanpa rasa bebal dan mampu menerima keputusan secara demokratik melalui pilihan raya.

“Pemimpin DAP sedia untuk melafaz ikrar menjauhi politik pembohongan, kebencian dan ketakutan.

“Adakah pemimpin parti-parti politik termasuk UMNO-BN dan PAS sedia untuk bersama DAP berikrar menjauhi politik pembohongan, kebencian dan ketakutan yang mengeksploitasi sentimen kaum dan agama rakyat?

“Adakah kita boleh berikrar utnuk mengamalkan politik kejujuran, kebenaran, ketenangan dan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya dalam negara ini?” soal Kit Siang. -Roketkini.com