Berita

Kemelut Bandar Malaysia: Najib dinasihatkan rancang dulu baru berjanji

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Tidak guna membuat janji kosong untuk menjual Bandar Malaysia dengan harga yang tinggi tanpa perancangan yang teliti untuk menarik minat pembeli dan pelabur, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan (MoF) melaksanakan kajian secara mendalam mengenai jenis pembangunan yang sesuai dan berimpak tinggi terhadap ekonomi negara di tanah prima seluas 486 ekar di Sungai Besi itu.

“Datuk Seri Najib Razak jangan lupa fakta bahawa penjualan asal (Bandar Malaysia) kepada konsortium IWH (Iskandar Waterfront Holdings) sebelum ini dimuktamadkan hanya selepas enam bulan proses mencari pelabur oleh broker hartanah yang dilantik 1MDB, C H Williams, Talhar & Wong pada 2015,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tony berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang juga Perdana Menteri yang dilihat bercanggah berhubung penjualan Bandar Malaysia.

Najib, semasa lawatannya ke China baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa bukan sahaja Dalian Wanda Group yang akan membangunkan Bandar Malaysia, China Rail Engineering Corporation (CREC) – syarikat yang membentuk konsortium dengan IWH – juga dipertimbangkan kedudukannya dalam usaha sama itu.

Bagaimanapun, sepulangnya Najib ke Malaysia, media melaporkan Menteri Kewangan itu berkata bahawa perjanjian penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion dengan konsortium IWH-CREC telah dimuktamadkan terbatal dan tidak akan diteruskan semula seperti yang dispekulasikan sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, melalui kenyataan dalam tempoh singkat tersebut terbukti bahawa pembangunan Bandar Malaysia tiada arah tuju yang jelas kerana Najib tidak membuat perancangan dengan sempurna.

“Dasar yang diumumkan secara ad-hoc itu akan menjejaskan sepenuhnya objektif MoF mendapatkan pelabur baru untuk projek berkenaan.

“Sebaliknya, pembeli yang berpotensi akan lebih takut dan bimbang dengan dasar flip-flop yang berlaku di Malaysia,” katanya.

MoF Diperbadankan melalui syarikatnya TRX City Sdn Bhd memiliki Bandar Malaysia, selepas ia diambil alih daripada 1MDB. – Roketkini.com