Berita

‘Adakah kerajaan BN Sabah galakkan skim cepat kaya?’

TAWAU, 19 MEI: Satu laporan polis telah dibuat supaya menyiasat majlis amal yang dianjurkan oleh Zhang Jian Jewellery Sdn Bhd syarikat milik rakyat China bernama Zhang Jian yang mendakwa sebagai ‘bakal orang terkaya dunia’.

Laporan dibuat di Balai Polis Tawau oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Chan Foong Hin dan Ketua DAPSY Sabah, Vincent Fung diiringi aktivis Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad.

Menurut Chan, DAP Sabah amat prihatin terhadap kemunculan semula perniagaan Zhang Jian yang merupakan pengasas kepada syarikat YSLM pada tahun 2014 dan dihantui kontroversi kerana menjalankan skim cepat kaya.

Ekoran aktiviti itu, ribuan rakyat China, Malaysia dan Thailand tertipu dengan skim tersebut melibatkan RM605 juta.

“Kes ini telah menyebabkan kekecohan di Malaysia, tetapi Zhang telah ditangkap dan dipenjara di Thailand pada waktu itu. Setelah dibebaskan, dia kini keluarkan duit syling maya yang dipanggil Wu Xing Bi (syiling 5 elemen) dan akan kembali ke Malaysia,” jelas Setiausaha DAP Sabah itu.

Apa yang lebih mengejutkan kata beliau, walaupun seluruh dunia mengetahui mengenai kontroversi Zhang, kehadiran setiausaha politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Titingan dalam majlis amal itu menimbulkan tandatanya.

Dalam majlis tersebut, Nizam telah menyaksikan penyerahan derma sebanyak RM10,000 dari syarikat Zhang Jian Jewellary Sdn Bhd kepada sekumpulan NGO di Hotel Promenade dekat sini.

“Adakah Nizam tahu mengenai latarbelakang syarikat tersebut? Kehadiran beliau boleh dilihat sebagai pengiktirafan terhadap ‘produk’ baru syarikat tersebut iaitu Wu Xing Bi.

“Beliau patut lebih peka terhadap isu ini kerana merupakan pegawai tertinggi kerajaan negeri dan ini memberi gambaran bahawa kerajaan BN Sabah menggalakkan orang awam untuk terlibat dalam skim kontroversi ini,” kata Chan.

Dalam perkara berkaitan beliau melahirkan kebimbangan mengapa skim dan aktiviti pengumpulan dana secara haram masih gagal dibanteras secara menyeluruh di Malaysia.

Sedangkan katanya terdapat banyak akta yang boleh digunakan untuk membanteras kegiatan tersebut seperti Akta Penggubahan Wang Haram, pihak berkuasa juga menggunakan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1985, dan Akta Juala Langsung dan Skim Piramid 1993.

Chan berkata, akibat kurangnya penguatkuasaan, skim-skim cepat kaya semakin banyak beroperasi dalam beberapa tahun ini dan jumlahnya semakin meningkat daripada 271 kepada 288 syarikat.

“Kebanyakan syarikat ini juga terlibat dalam forex dan pelaburan emas.

“Bukan 10 atau 20 syarikat tetapi 288 semuanya. Memandangkan maklumat syarikat pun sudah ada, mengapa kita tidak bertindak senarai hitamkan syarikat ini?

“Saya harap pihak berkenaan perlu memainkan peranan yang aktif untuk menumpaskan aktiviti skim cepat kaya ini,” katanya lagi. – Roketkini.com