Rencana

Sasaran Pakatan Harapan Johor tidak mustahil dicapai

Saingan politik di Johor selepas ini cukup mencabar kepada kedua pihak. Namun saya kira, Barisan Nasional (BN) berada dalam tekanan yang lebih tinggi untuk mengekalkan penguasaan mereka.

Sememangnya bagi kami pihak pembangkang, ibarat melawan gergasi yang cukup kuat dan lengkap dengan segala sumber dan jenteranya, namun keadaan ketika ini, saya kira memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) Johor.

Faktor pemboleh ubah ini sudah semakin ke kemuncaknya, bermula dari kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang semakin menekan kos sara hidup rakyat, hinggalah skandal yang melibatkan integriti kerajaan BN Johor, rosak teruk.

Namun, adalah penting untuk PH Johor melakukan semak silang (cross check) mengenai beberapa kerusi-kerusi strategik untuk dirempuh. Bagi sesetengah kerusi, kekalahan itu suatu kemungkinan yang biasa. Tetapi kemenangan itu pastinya akan menjadi suatu hadiah yang penting kepada rakyat. Maka, ianya berbaloi untuk disasarkan.

Bagi kerusi Menteri Besar Johor sendiri N43 Permas, saya kira kerusi itu cukup signifikan diletakkan dalam sasaran PH. Faktor pemboleh ubah yang saya sebutkan tadi sudah ada, hanya memerlukan strategi untuk memberi impak yang maksimum.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertanding selaku calon pilihan dengan rekod sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang sebelumnya, dan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, hanya menang dengan majoriti 5,752.

Ini saya kira tidaklah begitu memberangsangkan kerana pengundi di kawasan tersebut mencecah hampir 50,000 manakala calon PAS, bukanlah calon yang cukup popular.

Jurang pengundi mengikut kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas ini tidak begitu jauh bezanya. Dengan lonjakan 10-15 peratus undi, nasib Menteri Besar Johor akan berada di hujung tanduk. Penambahan jumlah pengundi selepas 2013 (walaupun berlaku perubahan daftar undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR), ia masih memberi kelebihan kepada pembangkang.

Ini kerana faktor kemunculan pengaruh baru di Johor iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang akan memberi kesan dalaman kepada UMNO Johor yang mana jumlah ini cukup signifikan khususnya di kerusi DUN Permas.

Untuk DUN Permas ini, seorang calon yang baik harus diletakkan sebagai pertimbangan utama. Jika calon itu datangnya dari PPBM, secara adilnya, peluang itu akan menjadi 50-50 kepada kedua-dua belah pihak. Dan ini akan memberi kelebihan kepada pembangkang khususnya PPBM untuk membuat kejutan.

Sekalipun jika PAS bertanding di kerusi itu sebagai calon ketiga atau keempat, yang akan membantu UMNO secara tidak langsung, saya kira itu hanya akan memecahkan undi tegar PAS sahaja, yang selama ini PAS di Johor, tidaklah begitu kuat.

Dan pada masa yang sama tindakan PAS untuk bertanding sebagai calon ketiga akan menyebabkan undi bukan Melayu solid kepada calon PH.

Selain daripada itu, faktor sokongan akar umbi PPBM, masih dapat membantu menjadi penentu nasib Menteri Besar Johor.

Yang pasti, pertandingan kerusi tumpuan DUN Permas ini tidak akan memberi jalan mudah untuk Khaled Nordin. Kekuatan BN tetap ada, tetapi kelebihan juga masih ada pada PH, kerana apa pun strateginya, PH tidak akan rugi apa-apa untuk menumpukan kekuatan di DUN Permas, kerana hasilnya cukup besar.

Mengalahkan Khaled Nordin bukan kerana dia Khaled Nordin, tetapi mengalahkan dia bermakna kita menewaskan boneka Najib Tun Razak. Ini akan menjadi misi khas bagaimana rakyat boleh bertindak ke atas pemimpin kerajaan kleptokrasi pimpinan Najib Tun Razak.

Watak anak muda, anak jati Johor seperti Syed Saddiq dari PPBM, yang berketerampilan dan disenangi oleh kaum muda, mungkin boleh menjadi igauan ngeri kepada Menteri Besar Johor. Tokoh muda ini, juga layak untuk bertanding di kerusi Parlimen.

Di Johor, dukungan kaum muda amat penting dalam menentukan sekurang-kurang tujuh lagi kerusi DUN yang lain untuk diambil alih, antaranya Mahkota, Senggarang, Semerah, Pulai Sebatang, Tenang, Kemelah dan Kempas.

Dengan sokongan undi dari kaum muda, dan sokongan akar umbi UMNO yang kini ahli PPBM. Sasaran peralihan 10-15 peratus undi itu, sangat munasabah. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor