Berita

TYT puji pelaburan di Pulau Pinang catat peningkatan 73 peratus

GEORGE TOWN, 19 MEI: Dasar pentadbiran cekap dan telus telah menjadikan Pulau Pinang yang ditadbir kerajaan Pakatan Harapan terus mencatatkan peningkatan pelaburan sebanyak 73 peratus bagi tempoh sembilan tahun bermula 2008 hingga 2016 sebanyak RM59.2 bilion.

Peningkatan pelaburan menghampiri RM60 bilion ini mendahului pencapaian pentadbiran terdahulu dengan mencatatkan pelaburan sebanyak RM34.2 bilion antara tahun 1999 hingga 2007.

Malah, bagi tahun 2016 sahaja, Pulau Pinang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM4.3 bilion dengan kelulusan 106 projek.

Kemajuan ini turut mencatatkan peningkatan peluang pekerjaan di Pulau Pinang sebanyak 15 peratus daripada 121,511 peluang pekerjaan (1999-2007) kepada 139,133 pekerjaan baru bagi tahun 2008 hingga 2016.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Haji Abdul Rahman Abbas berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-13 hari ini.

“Transformasi ini menampakkan hasil apabila pertumbuhan per kapita (GDP) telah membangun daripada kedudukan tercorot di bawah di antara semua negeri-negeri di Malaysia dalam tempoh 2005 ke 2015 kepada yang paling baik mulai 2013 ke 2015,” kata Tuan Yang Terutama.

Menurut beliau, Pulau Pinang juga mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan pertumbuhan GDP negara sebanyak 5 peratus pada 2015.

“Cabarannya ialah untuk memastikan hasil kemakmuran ini dapat dikecapi oleh semua.

“Justeru, menerusi konsep negeri berkebajikan, Kerajaan Negeri telah membuat pelaburan dalam penaiktarafan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air dan longkang serta membina kemudahan awam seperti perumahan awam, taman lapang hijau, kompleks sukan dan dewan orang ramai,” ujarnya.

Tumpuan pembangunan juga diberikan kepada kawasan Seberang Perai, di mana 70 peratus daripada peruntukan pembangunan negeri, Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dibelanjakan demi mencapai pembangunan seimbang dan mampan di antara kawasan Pulau dan Seberang,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun pelaburan dalam industry berat memberikan impak yang tinggi kepada negeri, kerajaan Pulau Pinang juga tidak mengabaikan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang semakin berkembang.

“Saya difahamkan pada 8 Februari lalu, Kluster Automasi Pulau Pinang (Penang Automation Cluster) bernilai RM63 juta telah ditubuhkan di perkampungan IKS seluas 150 ekar oleh tiga syarikat besar tempatan yang akan membantu serta bekerjasama dengan 18 buah syarikat IKS yang lain.

“Kluster Automasi Pulau Pinang ini juga akan menjadi hub bagi ‘precision metal fabrication’ bertaraf dunia yang mengintegrasikan syarikat besar tempatan dengan syarikat IKS,” katanya lagi. –Roketkini.com