Berita

Nelayan ukir senyuman kerajaan negeri selesai masalah tidak sampai setahun

NIBONG TEBAL, 22 MEI: Nelayan di sini boleh mengukir senyuman apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bertindak menyelesaikan aduan yang diutarakan sebelum ini dalam masa yang singkat.

Ketiadaan kemudahan asas seperti bekalan air dan tempat letak kenderaan kini bukan lagi masalah apabila kerajaan negeri berjaya menyiapkan projek menaik taraf Jeti Tambahan Nelayan Changkat Nibong Tebal dengan kos RM380,000.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kemudahan itu bukan hanya akan memanfaatkan nelayan tetapi juga penduduk dan pelancong lapor Buletin Mutiara.

Jeti asal yang dibina pada tahun 2008 itu katanya mendapat sokongan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memperuntukkan kos sebanyak RM500,000 sahaja untuk membina jeti ini.

Bagaimanapun tidak ada sebarang kemudahan asas disediakan seperti bekalan air begitu juga tiadanya tempat meletak kenderaan yang baik.

Perkara itu diketahui apabila nelayan setempat membuat aduan ketika program Jelajah Sedia Mendengar bersama Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada bulan Ogos serta Oktober tahun lalu.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; ADUN Sungai Bakap, Datuk Maktar Shapee yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd. Ali Sebran. –Roketkini.com