Rencana

Roketkini tidak padam artikel babitkan Mahathir dan skandal BMF

Dakwaan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatian, Ramesh Rao Krishnan Naidu bahawa kononnya Roketkini telah memadamkan semua artikel yang menuduh Tun Dr Mahathir terlibat dalam skandal BMF pada tahun 90’an adalah tidak benar.

Beliau mendakwa bahawa Roketkini berbuat demikian ekoran hubungan antara Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Mahathir yang semakin erat akhir-akhir ini.

Harus dimengerti, Roketkini meski merupakan laman berita dan maklumat rasmi DAP dalam Bahasa Malaysia, tidak memproses kesemua kenyataan media Kit Siang.

Apatah lagi, kenyataan media yang dirujuk oleh Ramesh bertarikh 3 Jun 2012 adalah hari Ahad. Pada tahun 2012, Roketkini kurang memproses kenyataan yang dikeluarkan pada hujung minggu.

Kenyataan Kit Siang yang beliau rujuk itu juga masih wujud di laman web rasmi DAP, dan tidak pernah dipadamkan. Ia boleh dicapai di pautan ini: https://dapmalaysia.org/english/2012/jun12/lks/lks6207.htm

Kesemua kenyataan Kit Siang diarkib di laman web DAP. Malah semua kenyataan lama sejak 1968 hingga 1995 boleh didapati di arkib bibliotheca.limkitsiang.com

Kesemua kenyataan media Lim Kit Siang tentang apa sahaja skandal disiarkan di laman web rasmi parti dan arkib tersebut, serta boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Terdapat fungsi carian di sana bagi membolehkan orang ramai, termasuk Ramesh mendapatkan pendirian Kit Siang tentang demikian banyak isu nasional sejak tahun 1966 hingga sekarang.

Ketika ditemubual pasukan siasatan skandal forex pada 4 Mei lalu, Kit Siang sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyelongkar kerugian besar yang ditanggung oleh Bank Negara.

Beliau mengkritik langkah kerajaan untuk mengorek ‘bangkai gajah’ dari zaman Mahathir, berbanding menyiasat skandal mega pengubahan wang haram antarabangsa membabitkan 1MDB.

Tidak ada pusingan-U dibuat oleh Kit Siang dalam mana-mana hal, sepertimana didakwa oleh Ramesh.

Bagi Kit Siang, siasatlah kedua-dua skandal dengan adil dan saksama, tanpa perlu menunggu tiga puluh tahun lagi untuk mengorek bangkai 1MDB pula.

Dakwaan laskar siber pro-BN yang popular di media sosial dengan carut-marut dan maki hamun ini, tiada lain hanyalah suatu aksi untuk mengalihkan perhatian, memberi bahan kepada media kawalan BN, serta memesongkan hakikat bahawa Lim Kit Siang, DAP dan Roketkini kekal konsisten dengan pendirian dan prinsip.

Dakwaan Ramesh adalah tidak benar, tidak berasas, bohong, mengarut dan dibuat secara malas, cincai dan langsung tidak berusaha.

Ramesh perlu berusaha lebih gigih, setanding dengan habuan yang mungkin diterima olehnya untuk kesemua aksi-aksi politik yang dibuat olehnya, bagi faedah Barisan Nasional. – Roketkini.com