Berita

Tun Mahathir ajak Gen Y mengundi, singkir ‘kerajaan kleptokrat’ Najib

KUALA LUMPUR, 24 MEI: ‘Semuanya sama’. Mungkin itu tanggapan sebahagian rakyat Malaysia khususnya golongan muda atau Gen Y terhadap politik.

Akibatnya, sebahagiannya mengambil keputusan memilih untuk tidak mengundi kerana berasakan politik itu membosankan.

Namun, keputusan untuk tidak mengundi hanya boleh menyebabkan situasi ekonomi dan politik negara menjadi mundur dan tidak stabil.

“Najib boleh menang bukan kerana rakyat sokong dia. Najib boleh menang kerana rakyat sudah bosan dan “sinikal” terhadap politik.

“Bosan! Mereka tidak undi. Tak undi samalah dengan undi Najib. Najib menang; semua kalah,” kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam tulisannya di blog beliau baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menegaskan, perubahan dalam negara ini hanya boleh tercapai dengan gandingan orang muda dan ‘lama’.

Oleh yang demikian, penglibatan golongan muda atau Gen Y dalam politik amat penting demi masa depan negara yang lebih baik.

“Untuk kemenangan gandingan antara tua dan muda diperlukan. Yang tua mesti faham pemikiran yang muda. Yang muda mesti ambil kira keusangan minda yang tua dengan perjuangan lama mereka,” kata Dr Mahathir lagi.

Menurut beliau, tanpa penglibatan golongan muda, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menang.

“Yang tua akan undi – undi untuk muka lama – undi untuk perjuangan yang lama.

“Tetapi undi yang tua sahaja tidak mencukupi. Bermakna mereka akan kalah. Bermakna penerima dedak akan menang. Bermakna cash akan terus jadi King,” katanya lagi. –Roketkini.com