Berita

Laman FB ‘DAP Laknatullah’ mahu salai Ahli Majlis DAP

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini berhubung posting di laman sosial Facebook (FB) anti-DAP mengenai peristiwa 13 Mei.

FB ‘DAP Laknatullah’ semalam memuat naik imej yang mengandungi gambar pemimpin muda DAP itu dengan kata-kata ‘SEJARAH 13 MEI HANYA SATU DONGENG. GENERASI MUDA PATUT LUPAKAN SEJARAH 13 MEI. DAP TIADA KAITAN’ yang menurut Edry tidak benar dan berunsur fitnah.

Apakata kalau Tragedi 13 Mei berlaku lagi..?? Kali nie cari hawau anjing Democratic Action Party pastu kita lanyak dan salai dia hidup2,” tulis laman tersebut.

Sehubungan itu, Edry dalam laporannya menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat dalang di sebalik fitnah dan ugutan terbabit dengan kadar segera.

“Saya yakin setiap rakyat Malaysia mahukan kehidupan yang aman dan baik. Budaya politik samseng, fitnah dan intimidasi ganas hanya memburukkan lagi keadaan negara yang sudah sedia tenat,” katanya kepada Roketkini ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

“Budaya buruk seperti ini harus dihentikan. Negara ini ada undang-undang dan saya berharap undang-undang ditegakkan. Ini kerana kes ini bukan lagi sekadar perselisihan politik tapi pelanggaran undang-undang melibatkan fitnah dan ancaman terhadap keselamatan individu.”

Edry seperti dilaporkan Roketkini sebelum ini mendakwa filem Tanda Putera yang mengisahkan peristiwa 13 Mei adalah produk propaganda UMNO-Barisan Nasional (BN) ekoran perspektif berat sebelah yang ditonjolkan filem tersebut.

Beliau turut berpandangan filem sejarah yang mengangkat pelbagai perspektif tanpa agenda dan propaganda tersembunyi tidak akan mencapai obektifnya jika negara ini berterusan diperintah oleh satu pihak sahaja.

Beliau yang juga Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Selayang berkata, kebebasan untuk berbeza pandangan seharusnya diraikan, bagaimanapun ia tidak seharusnya disalah guna untuk menimbulkan fitnah dan mengancam keselamatan orang lain.

“Perbezaan pandangan dan faham politik adalah unsur-unsur demokrasi yang sihat.

“Yang tidak sihat adalah apabila perbezaan disusuli dengan sikap pelampau sehingga sanggup mencipta fitnah agar pihak yang tidak dipersetujui disakiti dan diancam keselamatannya. Seperti yang dilakukan oleh laman facebook pro-Najib bernama ‘DAP Laknatullah’ ini,” katanya. – Roketkini.com