Berita

UMNO makin lemah, pemimpin kuat bodek terpaksa tutup isu rasuah – Tengku Zulpuri

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Ketakutan hilang kuasa yang sedang melanda UMNO tidak dapat lagi diselindung apabila pemimpin-pemimpinnya terpaksa berterusan membodek ‘bos’ mereka dan menjaja isu kitar semula.

Antara yang sering dibangkitkan ialah dakwaan kononnya Pakatan Harapan menjadi ‘tunggangan’ DAP walaupun realiti politiknya menunjukkan setiap komponen Pakatan Harapan saling bekerjasama antara satu dengan yang lain.

Semua ini kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji hanya menunjukkan parti pemerintah itu dalam keadaan tersepit dan ketakutan.

Tambahan pula apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menanggung beban terpalit dengan skandal puluhan bilion ringgit syarikat 1MDB.

Tengku Zulpuri berkata demikian kepada Roketkini mengulas tulisan menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam blognya yang terus-menerus menggambarkan Pakatan Harapan kononnya diketuai DAP.

“Ini jelas ketakutan teramat sangat apa bila UMNO hilang kuasa. Andaian-andaian yang di buat terlalu tipis dan terdesak.

“Pemimpin UMNO masih memainkan lagu bahawa DAP akan menang mojoriti kerusi tapi mereka tidak berani sebut jika parti-parti lain dalam Pakatan Harapan seperti Amanah, PKR, PPBM serta parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak menang besar,” katanya yang juga ADUN Mentakab itu.

Katanya lagi, amat malang bagi pemimpin UMNO untuk terus memainkan isu tersebut kerana ia secara langsung memberi gambaran kepada rakyat bahawa UMNO sebenarnya telah merendah-rendah keupayaan dan kebijakan negarawan pemimpin Melayu seperti Tun Mahathir dan ramai lagi.

“Malah, apa yang PH buat sekarang ialah untuk memerangi rasuah dan penyelewengan yang dilakukan pemimpin UMNO. Adakah itu jahat?

“Adakah pemimpin UMNO tidak kisah parti mereka terus terpalit dengan pelbagai dakwaan rasuah atau mereka memang suka rasuah?” soalnya sinis. –Roketkini.com