Berita

Penduduk kampung di Pensiangan kecewa wakil rakyat pemalas

PENSIANGAN, 26 MEI: Sejak banjir melanda daerah ini akhir bulan lalu, banyak kawasan kediaman dan kemudahan rosak serta musnah termasuk jambatan gantung yang menjadi kegunaan utama penduduk di sini.

Apa yang menghairankan, di saat penduduk mengharapkan wakil rakyat yang mereka pilih untuk membaiki jambatan gantung itu, mereka diberi tangki biru dan paip.

Hasil tinjauan pasukan DAP Tulid di Kg Rampaian baru-baru ini mendapati, jambatan gantung di kampung ini masih belum dibaiki sejak banjir melanda.

Bukan itu sahaja, keadaan yang sama turut berlaku di lima kampung lain dengan lapan jambatan gantung yang rosak.

“Saya mulai berfikir, apakah inisiatif yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) yang diwakili PBRS untuk menyelesaikan masalah jambatan gantung ini? Hantar tangki biru dan paip sahaja?

“Apa yang terjadi kepada jambatan gantung yang ada, sampai sekarang itu-itu juga,” katanya Penyelaras DAP Tulis, Robinson Rusikan kepada Roketkini.

Menurut Robinson, jambatan gantung ini amat penting kerana selain digunakan sebagai laluan utama, ia juga digunakan untuk membawa keluar hasil sawit, getah dan lain-lain hasil pertanian.

Beliau berkata, penduduk kampung yang ditemui melahirkan rasa kecewa apabila tiada sebarang tindakan diambil walaupun wakil rakyat Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Angin dari PBRS-BN telah banyak kali turun meninjau kawasan berkenaan.

“Penduduk beritahu saya wakil rakyat dan pihak berkenaan turun sini bukan satu, dua kali tapi banyak kali. Namun tiada sebarang tindakan.

“Mereka (penduduk) kata ini bukan kawasan pelancongan untuk dilawat saja, wakil rakyat ada tapi kita pun tidak tau bila mereka akan bertindak,” katanya.

Justeru, beliau yang turut mewakili DAP Pensiangan menggesa dan mencabar PBRS segera bertindak membaiki jambatan gantung yang rosak dalam tempoh seminggu.

“Jika PBRS tidak menyelesaikan permasalahan ini, kami dari DAP akan membinanya dengan cara gotong-royong bersama penduduk kampung.

“Biar dunia tahu PBRS adalah parti yang pemalas, terlalu selesa dan tidak sensitif kepada masalah rakyat,” kata Robinson.

Kata beliau, DAP akan terus bersuara mewakili penduduk kampung dan berkhidmat demi kepentingan masyarakat.

“Saya berani mengatakan bahawa di belakang kami ada orang kampung, di belakang orang kampung ada DAP untuk menyampaikan suara mereka,” tegas beliau. –Roketkini.com