Berita

Gerai burger amal DAPSY Pandan laris, berjaya kumpul lebih RM1,600

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Siapa sangka, gerai jualan burger amal anjuran Sosialis Muda DAP (DAPSY) Pandan laris dan berjaya mengutip lebih RM1,600 semalaman.

Program membeli sambil menderma yang dianjurkan itu diketuai Setiausaha DAPSY Selangor, Mohd Firdaus Babh.

Apa yang menarik, sambutan yang diberikan dari masyarakat pelbagai kaum khususnya kaum Melayu amat menggalakkan walaupun gerai itu dipasang dengan bendera DAP.

“Mereka kelihatan okay dengan logo yang kita gunakan, mungkin sebab mereka tahu yang kita buat banyak program dan khidmat masyarakat di sini,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Menurut Firdaus yang juga Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan, beliau sendiri tidak menjangkakan sambutan hangat yang diberikan masyarakat sekitar.

“Memang kami tak jangka sambutan begitu baik kerana program sebegini julung kali diadakan, lebih-lebih lagi kami buka gerai di lokasi majorti Melayu.

“Ada yang berpurdah datang beri sokongan dan derma di ‘tabung Roket’. Begitu juga dengan kanak-kanak.

“Ada pemandu teksi bumiputra kawasan Pandan buat colection sesama mereka sokong apa yang kita buat dan beri semangat kepada kita untuk perjuangkan nasib pemandu teksi yang tak dapat pembelaan wajar dari kerajaan,” jelasnya.

Usaha ini juga katanya turut mendapat sokongan sekumpulan masyarakat India yang telah mendermakan sebanyak RM500.

“Saya percaya masyarakat di sini tahu yang kita buat kerja, beri perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Jualan amal DAPSY Pandan itu telah dianjurkan pada 25 Mei lalu bermula jam 8.20 malam sehingga 11.30 malam dan semua keuntungan dan sumbangan akan disalurkan kepada DAPSY Malaysia.

“Kita berjaya kumpul RM1,652.30 dan habiskan hampir tiga beg roti burger. Setiap satu beg ada 40 biji,” ujar Firdaus.

DAPSY Pandan juga katanya turut menjalankan pelbagai aktiviti untuk belia dan masyarakat setempat.

“Kita juga aktif dengan program-program melibatkan surau dan masjid.

“Kita pernah adakan kelas sembelihan halal, kursus jenazah dan kelas mengaji Al-Quran,” katanya lagi.

Beliau berharap, program jualan amal seperti ini akan memberi semangat kepada DAPSY Pandan untuk meneruskan kelangsungan program-program sedia ada selain meningkatkan lagi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya belia di kawasan tersebut. –Roketkini.com