KUALA LUMPUR, 30 MEI: Selangor dan Pulau Pinang merupakan dua negeri yang mencatatkan migrasi bersih tertinggi sejak lima tahun lepas.
Merujuk data daripada Laporan Migrasi bagi tahun 2011 hingga 2016, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, Selangor mencatatkan migrasi bersih sebanyak 19,400 diikuti Pulau Pinang, 12,000.
“Angka daripada Laporan Migrasi itu jelas menunjukkan rakyat Malaysia mengundi dengan berpindah beramai-ramai ke Selangor dan Pulau Pinang.
“Ini adalah petanda yang jelas bahawa rakyat Malaysia yakin dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Migrasi bersih bermaksud perbezaan antara bilangan mereka yang berpindah masuk dan keluar dari sesuatu kawasan tertentu bagi tempoh setahun.
Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak pula merupakan dua negeri yang mencatatkan migrasi keluar terbesar dengan masing-masing berjumlah 163,400 dan 40,000 dari 2009 hingga 2016.
“Sebab bagi corak migrasi (dua negeri terbabit) tidak pula diberikan dalam Laporan Migrasi. Tetapi berkemungkinan Perak kehilangan penduduknya ekoran prospek pekerjaan yang lebih baik di Selangor dan Pulau Pinang.
“Untuk Kuala Lumpur pula, mereka kehilangan penduduk mungkin disebabkan harga rumah yang tinggi dan mungkin juga disebabkan dasar menarik yang ditawarkan kerajaan negeri Selangor,” jelasnya.
Mengikut laporan tersebut juga, kata Pengarah Strategik Pilihan Raya DAP itu, 61 peratus penduduk Kuala Lumpur bermigrasi ke Selangor pada 2015 hingga 2016, manakala dari 2014 hingga 2015, 62 peratus penduduk ibu kota itu pindah ke negeri yang sama.
“Jika trend ini terus berlaku, Kuala Lumpur akan menjadi bandar yang diduduki kebanyakannya orang kaya dan ekspatriat dan juga pekerja asing miskin,” ujarnya. – Roketkini.com