Rencana

Amalan politik kita membebankan rakyat

Saya merasa agak terganggu dengan perkembangan budaya politik mutakhir ini. Ia bermula dengan isu penggunaan masjid atau surau sebagai sebuah institusi awam yang dikatakan telah dipergunakan oleh parti politik untuk tujuan politik, baik parti disebelah kerajaan, mahupun oposisi.

Bagi pemimpin atau parti politik, memang semua pihak mendakwa ada justifikasinya, malah mendakwa niat mereka ikhlas, itu kita tahu. Namun dalam politik, keikhlasan itu bukan benda mudah untuk diukur atau dijustifikasikan secara objektif kepada semua pihak, apatah lagi kepada penyokong oposisi atau kerajaan.

Maka soal niat atau tujuan ahli politik (yang bukan penjawat awam) cukup terdedah dengan salah faham hingga membawa persepsi yang salah kepada semua pihak.

Baru-baru ini di Johor juga berlaku perkara yang sama. Tan Sri Muhyiddin Yassin baru tahu bahawa beliau kini sudah tak boleh masuk surau buat program, walaupun beliau seorang wakil rakyat yang sah, bekas Menteri Besar dan bekas Timbalan Perdana Menteri. Malah dakwaan beliau bahawa program itu program kebajikan, ia tetap tidak boleh diterima oleh pihak berkuasa.

Kes seumpama ini sebenarnya sudah lama berlaku, ia menjadi budaya hingga masyarakat tidak merasa ia suatu perkara yang menyimpang dari asas-asas demokrasi.

Agensi Kerajaan

Lebih awal dari budaya ini, telah bertahun-tahun kita melihat bagaimana parti-parti politik kerajaan menggunakan aset, jentera, agensi dan kakitangan awam untuk tujuan politik mereka. Baik di musim kempen pilihan raya atau tidak.

Yang terbaru MCA menggunakan premis Majlis Daerah Yong Peng ( PBT ) untuk menjalankan mesyuarat partinya dengan cukup mudah. Tiada rasa malu dan bertanggungjawab.

Saya melihat, jika perkembangan ini dibiarkan, ia akan merosakkan sistem amalan tadbir urus yang telus (good governance).

Parti politik, pemimpin, kakitangan awam dan pembayar cukai akan berbalah siapa lebih berhak menggunakan premis-premis awam dan agensi-agensi ini. Perbalahan ini akan mengheret kita semua hingga kepada hujah-hujah perkauman dan kepercayaan agama.

Bagi saya ini bukanlah budaya politik yang waras, apatah lagi politik yang boleh membangunkan minda. Sebaliknya ia hanya akan terus memerangkap persepsi buruk kita tentang politik dan fungsi premis atau agensi awam ini.

Dalam konteks ini, kita semua harus memahami satu garis politik yang jelas, dimana had mereka berpolitik.

Patuh dan hormati undang-undang

Menghormati undang-undang, adalah termasuk menghormati dan memahami fungsi aset dan jentera kerajaan sebagai hak pembayar cukai. Malah, ia termasuk menghormati konvensyen amalan ‘kerajaan sementara’ atau caretaker government ketika parlimen atau dewan negeri dibubarkan.

Undang-undang yang kita ada cukup banyak, tetapi kita yang menguasai kerajaan ( pihak berkuasa ), melaksanakan undang-undang tersebut secara selektif.

Senario ini bagi saya sebenarnya cukup signifikan dengan keadaan budaya politik semasa kita.

Ketika ini, oposisi dan kerajaan sudah menjadi kebiasaan melantik pemimpin parti politik ke posisi-posisi penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Memang ada pro dan kontra dengan amalan ini, namun begitu ia harus ada satu garis yang jelas yang membolehkan perlantikan itu dijustifikasikan kepada semua pihak. Tetapi ini tidak berlaku sama sekali.

Hal seumpama ini juga mempengaruhi polisi diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagaimana hari ini, ahli-ahli majlis yang dilantik dari kalangan ahli parti politik, memberi khidmat kepada masyarakat secara selektif.

Adakah ia berpunca dari amalan dasar/polisi? Atau ia memang sikap ahli majlis tersebut, yang dididik untuk merasa bertanggungjawab kepada parti politik yang memilihnya?

Begitu juga dengan layanan PBT kepada wakil rakyat pembangkang dalam Mesyuarat Penuh PBT di Johor (praktik di negeri lain saya tidak pasti), yang terus menghalang kehadiran wakil rakyat oposisi untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat tersebut.

PBT ini wujud dengan akta dan peruntukan undang-undang, tetapi sekali lagi, ia dilaksanakan secara selektif. Ini menyukarkan semua pihak baik wakil rakyat, media, pembayar cukai termasuk penjawat awam yang profesional di semua PBT.

Kesemua masalah dan isu-isu inilah yang membebankan masyarakat dan agensi serta kakitangan awam.

Hal ini harus dihentikan segera jika kita (oposisi atau kerajaan) mahu lekas bergerak maju kehadapan. Perlu ada wacana dan hujah yang meluas bagi memahami masalah ini.

Perbincangan ini harus adil dan terbuka. Biar kakitangan awam, pembuat dasar dan pembayar cukai berkongsi hujah demi memajukan masyarakat dan politik kita.

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor