Berita

Kerajaan P.Pinang tanggung kos selenggara rumah pangsa berusia 37 tahun

PANTAI JEREJAK, 5 JUN: Kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyumbang sebanyak RM32,400 bagi menampung kos mengecat semula rumah pangsa kos rendah Blok 74 Jalan Tengah dekat Bandar Bayan Baru.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pembiayaan sebanyak 80 peratus daripada agensi kerajaan tersebut adalah berdasarkan teori ekonomi 80:20 atau ‘Prinsip Pareto’ yang mana kos selebihnya turut bersama ditanggung oleh persatuan penduduk.

“Bagi Blok 74 ini, kos keseluruhan untuk kerja pengecatan semula adalah berjumlah RM40,500,” katanya pada Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-Kerja Pengecatan Semula dan Pembaikan Kritikal Blok 74 Jalan Tengah di sini, semalam.

“PDC telah tanggung 80 peratus (RM32,400) manakala baki bahagian 20 peratus adalah dikongsi antara badan pengurusan persatuan penduduk dan kerajaan negeri masing-masing sebanyak RM4,050,” tambahnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Jumlah RM40,500 itu adalah sebahagian daripada kos sebenar iaitu RM93,310 termasuk kerja-kerja penyelnggaraan kritikal di 30 unit rumah pangsa kos rendah berusia kira-kira 37 tahun tersebut.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pihaknya telah berbincang dengan Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri untuk mempertimbangkan cadangan untuk menambah peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 peratus Pulau Pinang.

Turut berucap dalam majlis itu adalah; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang juga ADUN Pantai Jerejak; Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; serta Pengerusi Badan Pengurusan Persatuan Penduduk Blok 74, Thomas Devas.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar. – Roketkini.com