Berita

Perlukah yuran pengajian berbeza untuk kursus yang sama? – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Tindakan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) mewujudkan dua kadar yuran berbeza bagi kursus yang ditawarkan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) dipersoal Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau merujuk kenyataan Menteri BN, Datuk Seri Wee Ka Siong seperti dilaporkan media semalam yang berkata hanya pelajar asing dan tempatan yang memilih program pengambilan terus di bawah Pusat Pendidikan Berterusan UM (UMCCed) dikenakan yuran pengajian penuh.

Kata Teresa memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, pelajar yang memohon melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) pula dikenakan hanya 10 peratus daripada yuran pengajian penuh setinggi RM90,000.

Namun, katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, terdapat dua persoalan yang timbul susulan kenyataan Ka Siong berkenaan.

“Persoalan pertama adalah mengapa ada dua struktur yuran yang berbeza untuk pelajar Malaysia? Adakah adil sekiranya satu pihak menerima subsidi yang besar sedang ada pelajar lain yang terpaksa membayar yuran penuh?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Teresa, adalah menjadi amalan universiti luar negara mengenakan caj yuran pengajian yang lebih tinggi bagi pelajar asing, namun rakyatnya sendiri menikmati yuran subsidi yang sama.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan menetapkan syarat kemasukan yang berbeza untuk program pengambilan terus dan tidak terus berkenaan.

“Jika syaratnya serupa, mengapa pelajar perlu memohon program pengambilan terus dengan kos RM90,000 berbanding program pengambilan tidak terus yang hanya memakan kos RM12,000 untuk keseluruhan kursus,” soalnya.

Malah, menurutnya lagi, mengikut laman web Fakulti Kejuruteraan UM, program kursus penuh itu dipanggil sebagai program antarabangsa yang sepatutnya dihadkan kepada pelajar asing sahaja.

“Mengapa program antarabangsa tidak dihadkan kepada pelajar antarabangsa sahaja? Adakah ini kerana Fakulti Kejuruteraan UM tidak yakin untuk menarik permohonan yang cukup daripada pelajar asing?” katanya.

Teresa dalam pada itu turut mengingatkan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) awam negara perlu memainkan peranan yang berbeza dengan IPT swasta dalam soal yuran pengajian.

“Universiti awam adalah tempat di mana pelajar yang kurang berkemampuan mendapatkan peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi dengan yuran yang murah. Universiti awam tidak sepatutnya mengabaikan peranan yang penting sebegitu,” katanya. – Roketkini.com