Berita

Sabah sebagai model toleransi rakyat Malaysia

PENAMPANG, 5 JUN: Sabah mampu mendidik Malaysia malahan dunia tentang nilai-nilai toleransi, persefahaman dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan menolak fahaman ekstrimis dan fanatik, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Lawatan dua hari saya ke Sabah merupakan tempoh yang sangat bermakna, kerana Sabah mempunyai kumpulan etnik, kaum dan budaya yang pelbagai – semuanya wujud secara harmoni, saling memahami, muhibah dan bersolidariti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, rakyat Sabah yang terkenal dengan nilai murni tersebut harus menyebarkan teladan itu kepada seluruh rakyat Malaysia malahan dunia supaya menolak faham ekstrimis dan fanatik yang kian menjadi-jadi muktahir ini.

“Ini sebabnya, Sabah boleh mendidik Malaysia dan dunia tentang peri pentingnya menyebarkan nilai toleransi, persefahaman dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan toleransi sifar terhadap fahaman ekstrimis dan fanatik dalam apa jua bentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian sambil merujuk kejadian pengeboman dan pembunuhan yang berlaku di bandar-bandar utama di dunia antaranya di London, Manchester, Marawi dan Jakarta yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas yang berfahaman ekstrimis dan fanatik.

“Fahaman ekstrimis dan fanatik tidak akan tumbuh dan tersebar secara meluas jika pemikiran toleransi sifar terhadap fahaman tersebut mampu untuk dilontarkan,” ujarnya lagi. – Roketkini.com