Berita

Aktivis Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah sertai DAP

KOTA KINABALU, 6 JUN: Aktivis dan pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad, 28, membuat keputusan untuk menyertai DAP.

“Penyertaan saya bersama DAP bertujuan melawan regim korup kerajaan UMNO Sabah yang diterajui Ketua Menteri Musa Aman,” katanya kepada Roketkini.

Penyerahan borang keahlian itu dibuat kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sebelum majlis berbuka puasa anjuran DAP Tanjung Aru disaksikan oleh ahli jawatankuasa DAP Sabah, ahli keluarga dan hadirin.

Menurut pemegang Sarjana Muda Dalam Bidang Sejarah, Universiti Malaysia Sabah itu, penyertaannya ke dalam DAP kerana tertarik dengan komitmen dan prinsip perjuangan parti yang sentiasa komited terhadap perjuangan rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, DAP tegasnya amat konsisten dalam perjuangan menuntut hak-hak Sabah.

“Saya menyimpan hasrat ini sejak saya dibebaskan daripada perancangan tangkapan politik oleh rejim Musa Aman dan UMNO-BN di Sabah pada tahun 2016.

“Selepas tujuh bulan saya bebas daripada kes tangkapan politik ini, Penasihat DAP Sabah, YB Jimmy Wong menghubungi saya untuk tawaran menjadi ahli DAP Sabah.

“Tawaran ini penting untuk saya bertanding di kawasan DUN Sungai Sibuga iaitu kawasan kerusi DUN yang dimenangi oleh Musa Aman. Maka, saya menyimpan hasrat, dengan menggunakan wadah DAP,” katanya.

Dedah Jufazli, ini bukan kali pertama ditawarkan menyertai parti politik kerana sebelum ini beliau pernah menerima empat tawaran termasuk untuk menjadi ahli UMNO.

“Tetapi saya menolak semuanya sebab saya melihat DAP paling jujur berjuang untuk rakyat Sabah,” katanya.

Penyertaanya ke dalam DAP juga ini dibuat setelah berbincang dan mendapat persetujuan dari ahli keluarga.

“Ibu bapa saya sangat gembira dengan tawaran menjadi ahli DAP kerana mereka berpengalaman menilai parti-parti yang berurusan dengan saya. Ibu bapa saya melihat DAP paling bersungguh-sungguh dan jujur mengajak saya berjuang untuk rakyat Sabah,” katanya.

Insiden yang pernah berlaku ke atas Jufazli pernah menarik perhatian rakyat Malaysia apabila aktivis muda itu pernah ditahan untuk siasatan polis selama tujuh hari kerana mendedahkan skandal rasuah melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Malah, kelantangannya mempersoalkan skandal rasuah melibatkan Jabatan Air Sabah sebelum ini telah menarik perhatian pihak berkuasa.

“Saya akan dipanggil untuk serah diri pada 7 Jun 2017 ini di Balai Polis Penampang,” katanya.

Ditanya mengapa memilih DAP dan bukannya parti tempatan, Jufazli berkata parti pembangkang peringkat nasional penting untuk mengembalikan hak pembangunan dan kemajuan ekonomi yang maksimum kepada Sabah di dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya hormati semua parti pembangkang di Sabah dan saya amat hargai semua tawaran menjadi ahli parti pembangkang lain. Tetapi saya perlu memilih parti yang paling terbaik dan jujur selamatkan Sabah dalam Malaysia. Sebab itu, saya memilih DAP,” katanya lagi. -Roketkini.com