Berita

DAP Sabah alu-alukan penyertaan golongan muda, aktivis masyarakat

KOTA KINABALU, 6 JUN: Walaupun sering dimomok dengan pelbagai persepsi negatif oleh media pro-pemerintah, realitinya DAP semakin menambat hati golongan muda dan aktivis masyarakat khususnya di Sabah.

Mengalu-alukan penyertaan golongan muda ke dalam DAP, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt berkata, DAP sentiasa konsisten memperjuangkan hak-hak Sabah malah menjuarai banyak isu di peringkat nasional.

“Kita terbuka dan buktikan bahawa DAP parti untuk semua. Bukan anti mana-mana kaum atau mana-mana agama tetapi DAP anti-rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Roketkini.

Ahli Parlimen Sandakan itu berkata demikian mengulas penyertaan aktivis Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad ke dalam DAP semalam.

Menurut Stephen, langkah aktivis itu adalah bertepatan dengan semangat dan iltizam parti yang sentiasa berjuang demi Malaysia yang lebih adil, harmoni dan bebas rasuah.

“Saya harap akan ada lebih ramai lagi orang muda menyertai DAP,” kata Stephen.

Sebelum Jufazli, antara aktivis terkenal yang menyertai DAP Sabah ialah bekas Pengerusi Bersih 2.0 Sabah, Jannie Lasimbang.

Jannie yang juga aktivis hak asasi Orang Asal sebelum ini merupakan siswazah Sarjana Muda Bio Kimia dari University Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1984 dan pernah menjadi wartawan bagi RTM Sabah sebelum menjawat sebagai kakitangan awam Jabatan Hasil Dalam Negeri Sabah selama dua tahun.

Pada tahun 1987, beliau turut menjadi sebahagian dari pengasas Partners of Community Organisations in Sabah (PACOS Trust) yang merupakan sebuah pertubuhan sukarela memberi fokus kepada pembangunan kualiti hidup masyarakat pribumi di Sabah.

Terlebih dahulu, DAP Sabah turut menerima penyertaan aktivis Orang Asal yang telah lama terlibat dalam usaha pengukuhan komuniti Orang Asal, Adrian Lasimbang.

Adrian seorang pakar bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) selama lebih 20 tahun memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut di Malaysia dan telah memenangi beberapa anugerah peringkat Asean.

Pada tahun 2007, beliau mendapat anugerah Asean Energy Award dalam sistem mikrohidro berasaskan komuniti dan kini giat menjalankan banyak program komuniti di Pensiangan.

Penerimaan aktivis dan penggerak masyarakat pribumi Orang Asal Sabah bersama DAP sekaligus menyanggah tohmahan jahat sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman memburuk-burukkan imej DAP. –Roketkini.com