Rencana

Tanggungjawab Muslim melawan sikap melampau

Sambil kaum Muslimin menyambut mulanya bulan Ramadan pada tahun ini, kita dikejutkan dengan letupan bom oleh pembunuh nekad di Manchester, United Kingdom yang meragut nyawa 22 orang hadirin konsert, kebanyakannya kanak-kanak. Kemudian disusuli pula dengan serangan terhadap Kristian Coptic di Mesir yang meragut 28 nyawa. Tidak jauh dari rumah kita pula, kumpulan pengganas melakukan keganasan di Mindanao, selatan Filipina. Yang terbaru, enam orang terbunuh akibat dua serangan di pusat bandar London, United Kingdom.

Puluhan orang telah terkorban akibat serangan-serangan yang berlaku di serata dunia, baik Muslim mahupun bukan Muslim. Namun, yang lebih mendukacitakan, kesemua serangan tersebut telah dilakukan atas nama Islam. Salman Abedi, penyerang nekad di Manchester didakwa berulang-alik ke Libya dan mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda. Manakala, kumpulan pengganas ISIS mengaku sebagai dalang dalam serangan di Mesir dan Abdullah Maute turut dikaitkan dengan gerakan pemisah Islam kepulauan Mindanao. Mangsa-mangsa di London pula menceritakan bagaimana pengganas menggunakan nama Islam sewaktu menyerang mereka.

Yang jelasnya, kesemua pengganas tersebut telah mengkhianati nama baik Islam serta pesanan asas Al-Quran yang mengajar umatnya untuk mencintai keamanan.

Sikap melampau makin menular

Bahaya sikap pihak pengganas ini bukan sekadar ancaman kepada nyawa orang tidak bersalah, tetapi juga keaiban terhadap nama Islam yang kini sering dikaitkan dengan tindakan melampau.

Malangnya, sikap buruk ini sudah pun menular di negara kita sendiri. Ambil sebagai contoh peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini di mana seorang kakitangan awam telah dihina dan ditampar di perkarangan masjid selepas solat Jumaat. Lagi memalukan apabila pihak penyerang itu merupakan sebahagian daripada penyokong NGO yang kononnya memperjuangkan Islam.

Kejadian ini berlaku ekoran demonstrasi di luar masjid tersebut di mana pihak NGO tersebut telah menyaran agar Ketua Menteri Pulau Pinang dilarang daripada menghadiri majlis berbuka puasa kecuali beliau masuk Islam. Seolah-olah salah bagi bukan Muslim untuk makan bersama dengan rakan-rakan Muslim!

Yang sedihnya, seruan ini dibuat oleh pemimpin NGO yang pernah sendiri memegang jawatan dalam parti Islam. Dalam erti kata lain, beliau sepatutnya lebih memahami mengenai hukum-hakam Islam dan tidak harus mengelirukan orang ramai dengan pendirian yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Selain peristiwa ini, sebuah laporan polis juga telah dibuat baru-baru ini kerana membantah kehadiran ahli parlimen bukan Muslim di masjid walaupun beliau memberi sumbangan kepada masjid selaku wakil rakyat tempatan. Apakah yang sudah berlaku kepada masyarakat kita sehinggakan perkara yang selama ini merupakan kelaziman kini tidak boleh diterima?

Kebesaran Islam

Sikap melampau yang makin terserlah dalam kalangan masyarakat kita ini amat mengecewakan, lagi-lagilah sewaktu kita bakal menyambut ulangtahun ke-60 sebagai bangsa yang merdeka. Setelah enam dekad, kerencaman kaum dan agama dalam masyarakat kita sepatutnya menjadi sesuatu yang diraikan dan bukan titik pertikaian.

Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai Muslim. Pada saat ada usaha untuk mengaitkan Islam dengan keganasan, apatah lagi pada bulan yang mulia dan penuh berkat ini, adalah baik kita melawan anasir ini bukan dengan penampar tetapi dengan memaparkan Islam yang berjiwa besar.

Biarlah amal ibadat kita dalam bulan Ramadan ini digandingkan dengan penghayatan kepada nilai-nilai Islam yang sebenar. Apakah kita percaya bahawa Nabi Muhammad membawa agama yang penuh dengan kemarahan dan ugutan terhadap kaum dan agama lain? Sebaliknya, Nabi telah memperkenalkan Islam yang ramah, toleran dan rasional di tengah kejumudan dan kefasiqan bangsa Arab.

Sifat-sifat inilah yang menjadi asas kepada kekuatan agama Islam. Maka, tidak hairanlah bahawa ayat pertama Al-Quran yang diturunkan pada malam 17 Ramadan bukanlah menyeru manusia untuk beriman tetapi membaca:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan.” (Al- Alaq:1-2)

Demikian juga dengan banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang penuh dengan seruan kepada manusia untuk berfikir. Begitulah Allah meletakkan tingkat akal dalam kalangan umat Islam.

Justeru, daripada kita terus mencerca, mengugut dan mendominasi mereka yang tidak berdaya untuk membalas, marilah kita jadikan bulan yang penuh berkat ini sebagai kesempatan terbaik untuk membuang sikap yang merugikan ini dan mengambil iktibar daripada ajaran Nabi dan kitab Al-Quran yang mementingkan dialog dan kesefahaman, agar dapat kita menzahirkan kemurnian dan keindahan agama Islam yang sebenar.

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP