Berita

Kes kematian dalam tahanan polis: Mengapa Peguam Negara masih tak bertindak?

PUCHONG, 8 JUN: Peguam Negara digesa menjelaskan mengapa sehingga kini siasatan rasmi mengenai punca sebenar kematian (inkues) S. Bala Murugan sewaktu dalam tahanan di lokap IPD Klang Utara pada 7 Februari masih tidak dijalankan.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah secara jelas menyatakan bahawa siasatan perlu dijalankan jika seseorang itu didapati mati dalam tahanan polis.

Malah, katanya, Seksyen 339 kanun yang sama memberikan kuasa kepada pendakwaraya awam untuk mengarahkan supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca dan keadaan yang berkait terhadap kematian tersebut.

“Adalah jelas bahawa peruntukan itu menzahirkan pandangan serius Parlimen mengenai kematian dalam tahanan dan pendakwaraya awam sebagai pelindung keadilan diberikan secara spesifik kuasa bagi memastikan peruntukan itu dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Gobind, walaupun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) boleh meneruskan siasatan tanpa sebarang inkues dan sedang melakukan siasatan, laporan daripada prosiding agensi berkenaan didapati bermasalah.

“Jika begitu, persoalan yang berbangkit sekarang adalah mengapa tidak ada inkues dijalankan berhubung perkara berkenaan? Perkara ini melibatkan kepentingan awam,” tegasnya.

Katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, rakyat berhak tahu mengapa Peguam Negara tidak bertindak dengan peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan kes kematian dalam tahanan itu diselesaikan dengan segera.

“Perkara itu lebih-lebih lagi memerlukan perhatian Peguam Negara kerana kes kematian itu berlaku sewaktu dalam tahanan polis di balai polis.

“Orang awam mesti diyakinkan bahawa balai polis selamat. Itu sebabnya peruntukan-peruntukan berkenaan wujud, untuk memastikan punca dan keadaan yang berkait dengan kematian itu dipertanggungjawabkan,” ujarnya. – Roketkini.com