Berita

Kerajaan perlu tangani segera masalah kanak-kanak tidak bernegara – Wanita DAP

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Hampir 300,000 kanak-kanak tidak bernegara gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kerakyataan negara ini.

Kesannya, mereka menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan hak yang saksama seperti warganegara walaupun telah menetap di negara ini sejak dilahirkan.

Masalah itu telah dibangkitkan berkali-kali oleh pihak pembangkang di Parlimen, namun sehingga kini tidak diselesaikan.

“Saya telah membangkitkan perkara ini di Parlimen berkali-kali. Malah, saya tidak berseorangan dalam membangkitkan perkara ini di Parlimen,” kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam sidang media, di ibu pejabat DAP dekat sini.

“Meskipun Menteri ataupun Timbalan Menteri dalam jawapan balasnya menyatakan rasa simpati dan bersetuju bahawa mereka adalah kanak-kanak tidak berdosa, sehingga kini tidak ada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah berkenaan secara tuntas.”

Kesal dengan perkara itu, beliau justeru menggesa kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) agar dengan segera memudahkan proses untuk kanak-kanak tidak bernegara berkenaan untuk mendapatkan kerakyatan.

“Kerajaan harus dengan segera memudahkan proses berkenaan, kerana mereka sebenarnya adalah warganegara Malaysia.

“Kerakyatan seharusnya diberikan jika seseorang ayah itu memberikan laporan DNA, atau telah secara sah mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP.

Beliau memberi contoh kes, Tan Yao Chun, 8, yang tidak dapat bersekolah kerana tiada kerakyatan pada awal tahun ini, namun hanya diberikan peluang berkenaan selepas media melaporkan isu.

“Walaupun mereka diberi peluang untuk bersekolah, mereka tidak dapat menikmati pendidikan percuma seperti kanak-kanak Malaysia yang lain, mereka tak diberikan Skim Buku Teks Percuma.

“Hanya segelintir daripada mereka mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam, tetapi terpaksa membayar kadar yuran warga asing selain tidak dapat meminjam daripada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” ujarnya.

Lebih malang lagi, kata Nie Ching, kerajaan mengenakan caj perubatan penuh kepada mereka, selain tidak boleh memilik pasport dan lesen memandu.

“Dengan segala cabaran ini, kanak-kanak ini akan menghadapi waktu-waktu yang amat sukar untuk berjaya dalam hidup mereka dan sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik,” katanya lagi.

Turut sama dalam sidang media itu adalah barisan pemimpin Wanita DAP.

Sidang media itu turut menayangkan dokumentari yang merakamkan pengalaman tiga keluarga yang mempunyai anak yang tidak bernegara serta kesulitan yang dihadapi mereka bagi memenuhi proses permohonan kerakyataan walaupun telah berkali-kali ditolak.

Dokumentari itu boleh ditonton di pautan berikut: https://www.youtube.com/playlist?list=PL6z7pK4BMTtQxCdGtSy3ghosjJu46YMOv – Roketkini.com