Berita

Ketua Polis Negara belum pernah tengok semua dokumen siasatan 1MDB? – Gobind

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Ketua Polis Negara (KPN) dan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat skandal 1MDB perlu menjelaskan adakah mereka telah meneliti semua butiran akaun bank yang terlibat dalam transaksi bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Gesaan ini dibuat Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta pengendali (SR), Clare Rewcastle-Brown hadir ke negara ini bagi membantu siasatan dengan membawa bersama-sama dokumen sokongan mengenai dakwaan tersebut.

Menurutnya, adalah menghairankan jika PPK berhubung skandal 1MDB yang ditubuhkan sejak setahun yang lalu tidak mempunyai dokumen asas dan penting seperti itu.

“Jika mereka ada dokumen tersebut, mereka perlu jelaskan sama ada dakwaan berkenaan benar atau tidak.

“Jika tidak ada, mereka perlu menjelaskan mengapa sehingga kini, dokumen dan fakta asas seumpama itu tidak lagi diperolehi untuk membantu siasatan tersebut,” katanya.

Laporan Sarawak Report (SR) mendedahkan dokumen yang menunjukkan sejumlah RM42 juta dari SRC International disalurkan ke dalam akaun Ambank milik peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sejumlah RM7.5 juta daripada wang tersebut pula telah dibayar kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menjadi pendakwaraya menentang keputusan tidak bersalah melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dakwaan liwat pada 2014.

“Kami mengharapkan penyiasatan yang berkualiti daripada pasukan ini, selepas menubuhkan pasukan bagi menyiasat perkara yang besar seperti 1MDB dan SRC ini yang terdiri pula daripada ketua institusi besar seperti PDRM, SPRM, Bank Negara dan Ketua Audit.

“Di mana ada keraguan, mereka harus berikan jawapan. Dalam kes ini amat jelas ada keperluan itu. Jadi KPN atau sesiapa sahaja daripada pasukan itu harus membuka mulut dan membetulkan perkara terbabit,” ujarnya. – Roketkini.com