Berita

Cukai pelancongan: BN Sarawak hanya main wayang

KOTA KINABALU, 13 JUN: Tindakan kerajaan BN Sarawak menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia hanyalah ‘wayang’ politik semata-mata.

Ia dilihat sengaja dihangatkan memandangkan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut bakal dilangsungkan Julai hadapan.

Hakikatnya, ketika Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan diluluskan dalam sidang Parlimen April lalu, tidak seorang pun Anggota Parlimen BN dari Sarawak membantah cadangan tersebut.

Sedangkan terdapat enam menteri dan timbalan menteri mewakili BN Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan kata kenyataan media bersama Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling dan Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin.

Di sebalik sikap membisu anggota parlimen BN Sarawak itu, pemimpin DAP seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke bangun membantah dan membahaskan rang undang-undang cukai berkenaan.

“BN Sarawak memainkan sentimen ‘anti-Malaysia’ dengan niat jahat untuk melabel DAP sebagai ‘parti Malaya’ dalam pilihan raya akan datang ini.

“Dan jika BN Sarawak benar-benar jujur perjuangkan autonomi negeri, mereka sepatutnya memanggil sidang DUN tergempar dan meluluskan resolusi mengembalikan bidang kuasa pelancongan  persekutuan kepada negeri.

“Adakah mereka cukup berani untuk lakukan itu?,” soal kenyataan itu. –Roketkini.com